Bagi syarat jangan buka beg berisi mas kahwin selagi tak sah nikah, wanita terkedu lihat isinya

Oleh MAISARAH AISYA

Nak berkahwin tapi tak mampu hingga sanggup meletakkan pelbagai syarat pelik agar penipuannya tidak dihidu.

Siapa sahaja menyangka apabila mas kahwin yang diberikan sebelum bernikah itu sebenarnya tidak wujud.

Menurut portal Detik, seorang wanita dari Bima, wilayah Nusa Tenggara Barat terkejut melihat beg berisi daun kering sedangkan ia sepatutnya berisi ‘mas kahwin’.

Wanita yang dikenali sebagai Rosdiana itu dilamar oleh lelaki bernama Syamsurizal pada Jumaat lalu.

Janda anak tiga itu pada asalnya enggan menerima lamaran lelaki berusia 60 tahun disebabkan faktor umur lelaki tersebut yang agak berusia.

Namun wanita yang sudah berusia 38 tahun itu akur selepas diyakini oleh seorang sahabatnya.

“Syamsurizal melamar Rosdiana dengan membawa mas kahwin sebanyak 1.7 bilion rupiah (RM505,271). Niat baik itu diterima oleh Rosdiana dan keluarganya.

“Setelah bersetuju, Syamsurizal meminta agar beg yang mengandungi wang mas kahwin tersebut tidak dibuka sebelum Rosdiana sah menjadi isterinya,” kata pegawai Ketua Kampung Ragi, M Nur.

Sempat tunjuk wang dalam kotak

Dalam pada itu, lelaki tersebut juga sempat menunjukkan wang sebanyak 100,000 rupiah (RM29.72) di dalam kotak itu bagi meyakinkan Rosdiana.

“Ramai saksi yang melihat wang itu adalah asli. Namun, kami diminta untuk tidak membuka semuanya sebelum saya sah menjadi Syamsurizal,” kata Rosdiana.

Mula rasa pelik

Mula rasa pelik dengan syarat yang ditetapkan, Rosdiana dan keluarga nekad membuka kotak tersebut.

Pasangan dengan jarak usia 22 tahun itu sepatutnya bernikah selepas Aidilfitri ini.

Namun, keluarga Rosdiana terkejut apabila mendapati kotak tersebut hanya berisi daun kering.

Sehingga kini, tiada maklumat lanjut mengenai tindakan seterusnya yang diambil oleh pihak Rosdiana.

Baca juga: Isu stoking Allah ada kaitan dengan kemasukan lelaki Israel? Baca kenyataan pakar pertahanan ini