Sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih meriah dengan anak-anak pulang ke kampung untuk meraikan ia bersama ibu bapa yang masih hidup.
Bukan selalu dapat berkumpul beramai-ramai apatah lagi jika anak semua bekerja jauh atau sudah berkahwin.
Bagi pelakon dan pelawak Zizan Razak dia mengharapkan anak muda tidak menggunakan alasan sibuk bekerja untuk tidak pulang beraya.
Menurut Sinar Harian, dia sudah biasa mendengar nasihat untuk menghargai ibu bapa tambahan ada insan yang pertama kali meraikan sambutan kali ini tanpa orang tersayang.
“Saya ada ramai rakan usia sebaya yang sering berkata, kalau mak atau ayah masih ada, hargailah masa bersama mereka, sebab bila mereka tiada, yang tinggal hanyalah kenangan dan rindu tidak berpenghujung.
“Kita sekarang pun, tak tahu siapa yang pergi dulu. Jadi ketika masih ada kesempatan ini, gunakan sebaiknya.
“Kalau tidak ada kekangan yang mendesak, masalah lain, pulanglah berhari raya bersama ibu dan bapa,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Raya tak sama tanpa nenek
Tambahnya, sambutan Raya tahun ini kurang berseri selepas kehilangan neneknya empat tahun lalu dan memilih beraya di ibu kota bersama ibunya, Anai Ibrahim.
“Ibu memang duduk dengan saya dan selepas nenek meninggal, kami memang meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.
“Saya tidak nafikan, walaupun saya masih ada emak, sambutan Aidilfitri terasa kurang seri selepas nenek saya meninggal. Rutin sebelum ini tidak sama lagi.
Atas sebab itu saya tegaskan, kalau masih ada ibu bapa, pulanglah untuk meraikan masa indah itu bersama mereka,” ujarnya.
Tak semua penghargaan perlukan duit
Bagi Zizan untuk menghargai ibu dan bapa ini tidak perlu berlandaskan kewangan semata dan ada banyak cara untuk membalas jasa mereka yang sudah membesarkan kita.
“Bagi ibu bapa, mereka tahu cara kita menghargai mereka. Hargai itu luas, bukan bergantung pada material hadiah itu semata-mata.
“Apa yang penting kita sudah buat sehabis baik untuk bahagiakan ibu atau bapa kita. Kalau terjadi apa-apa insya-ALLAH kita tidak akan menyesal,” tambahnya.
Baca juga: Baru tahu hukum ibu bapa guna duit raya milik anak, ini penjelasan Ustaz Azhar Idrus