Masuk hospital sebab apendiks tapi kerana doktor cuai kaki pula dipotong, lelaki nekad saman RM55 juta

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penjawat awam memfailkan saman RM55 juta terhadap sebuah hospital swasta terkemuka gara-gara kecuaian doktor bedah yang menyebabkan dia menjadi Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ismail Ibrahim yang juga penolong jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini kehilangan kedua-dua kakinya akibat kecuaian doktor di hospital tersebut.

Dakwanya, dia dimasukkan ke hospital kerana apendiks tetapi berakhir dengan kakinya terpaksa dipotong.

“Saya masuk hospital sebab apendiks tetapi sebab doktor cuai, kaki saya hilang. 

“Prosedur pembedahan tidak berjalan dengan baik apabila doktor menebuk dan mengikat saluran darah utama sehingga menyebabkan kedua-dua kaki menjadi hitam atau gangren.

“Hospital itu kemudian memindahkan saya ke hospital swasta lain. Pemeriksaan lanjut menyebabkan kaki saya terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawa,” katanya memetik laporan media.

Lelaki berusia 41 tahun itu berkata, insiden itu amat mengecewakannya kerana i berlaku ketika isterinya sedang mengandung anak keempat.

“Semasa semua ini terjadi, isteri saya mengandung anak keempat. Hati siapa tidak sedih apabila melihat diri sudah tidak seperti dulu.

“Selama 10 hari terpaksa sorokkan nasib yang menimpa saya daripada tiga anak lain sebelum mereka menangis melihat keadaan terbaharu saya,” katanya.

Selain terpaksa dipotong kaki, kakitangan MBSA itu berkata, kecuaian pakar bedah hospital berkenaan menyebabkannya menderita sakit saraf teruk setiap dua hari.

“Tidur saya tidak lagi lena sejak lima tahun lalu. Setiap dua hari bermula jam 2 pagi saya akan mengalami kesakitan serta ada bahagian badan terganggu dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat.

“Saya nekad bawa kes ini ke mahkamah untuk menunjukkan dan membongkar isu kecuaian pihak hospital. Saya pasti banyak kes didiamkan dan berharap mereka yang senasib tampil ke depan,” katanya.

Baca juga: Getah pintu peti sejuk dah longgar? Jangan panik, ada cara senang nak tukar, jimat duit!