Tak sangka remaja 13 tahun hanya reka cerita, dakwaan dilarikan van putih rupanya palsu

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian di media sosial tentang kes penculikan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Menimbulkan keresahan, remaja terbabit mendakwa dirinya diculik di mana mulutnya telah ditekup sebelum dibawa lari dengan menggunakan sebuah van berwarna putih.

Remaja itu kemudian diselamatkan oleh seorang penduduk tempatan setelah berjaya melarikan diri ketika penculik berhenti untuk pergi ke tandas di Hotel Sutera Harbour.

Walau bagaimanapun, siasatan lanjut oleh pihak polis mendapati remaja berkenaan sengaja mereka cerita bahawa dirinya diculik kerana enggan pergi ke kelas mengaji.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda memaklumkan, timbul keraguan setelah soal siasat dan percakapan mangsa serta saksi dirakamkan.

Siasatan di tempat kejadian juga menunjukkan bahawa wujudnya kesangsian pihak polis terhadap dakwaan penculikan melibatkan remaja terbabit, lapor Harian Metro.

Menurut Kasim, siasatan lanjut kemudian mendapati mangsa sebenarnya berjalan-jalan di Plaza Wawasan iaitu sebuah pusat-beli belah ketika tempoh kehilangannya.

Remaja terbabit difahamkan terus berlegar plaza terbabit sebelum akhirnya dikesan pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana berada terlalu lama dalam bangunan.

“Mangsa takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir (ke kelas) mengaji,” dedah Kasim Muda mengenai situasi sebenar memetik laporan Harian Metro.

Remaja terbabit bagaimanapun sudah diserahkan kepada ibu bapanya dan diberikan nasihat agar tidak mengulangi perbuatan yang salah dari segi undang-undang itu.

Sehubungan itu, Kasim meminta golongan remaja agar tidak mereka cerita berkaitan kes jenayah kerana boleh menimbulkan panik selain satu kesalahan kerana membuat laporan palsu.

Baca juga: The Weeknd sumbang RM9.5 juta buat keluarga di Gaza, dana dijangka mampu sediakan 18 juta buku roti