Siapa sangka, seorang wanita sanggup meninggalkan populariti yang dikecapinya setelah bergelar ratu cantik demi ‘menggapai impian’ untuk hidup bersederhana.
Tidak mahu lagi menggayakan riasan solekan tebal dan mahkota di kepala, wanita berkenaan rupa-rupanya lebih memilih untuk menjadi petani di kampung halaman.
Malah, wanita berkenaan juga sempat menjual rumah mewahnya di ibu kota sebelum memulakan penghijrahannya ke kampung hanya untuk merealisasikan cita-citanya.
Kini wanita dikenali sebagai Oanh Yen yang pernah bergaya penuh glamor itu hanya mengenakan kemeja-T ketika menjalankan aktiviti harian dengan bercucuk tanam.
Selepas sekian lama zaman kegemilangannya berlalu, Oanh Yen mengakui hidupnya lebih bahagia di kampung bersama ibu bapa, suami serta enam orang cahaya mata.
Ratu cantik itu juga sempat meluangkan masanya menyapa peminat dan berkongsi perkembangannya di media sosial walaupun sudah bertahun bersara dari dunia seni.
Mengundang perbincangan hangat, peminat merasa kagum kerana Oanh mampu mengekalkan wajah dan bentuk badan yang menarik meskipun telah melahirkan anak.
Dalam satu perkongsian, Oanh berkata dirinya gembira dengan kehadiran cahaya mata selain tidak pernah khuatir mengenai bentuk badan selepas melahirkan anak.
“Saya menganggap anak-anak adalah anugerah dari syurga. Sebab itu saya tidak pernah merasa sedih ataupun khuatir bila memiliki ramai anak.
“Saya sukakan kanak-kanak. Jadi semakin banyak anak, semakin seronok,” kata Oanh Yen memetik portal berita luar negara iaitu Wolipop.
Untuk makluman, Oanh Yen yang berasal daripada Vietnam itu pernah memenangi pertandingan ratu cantik Miss World Global 2015 yang dilangsungkan di Filipina.
Ratu cantik terbabit juga pernah berjaya masuk ke pusingan final Miss Vietnam 2008 dan berada di dalam senarai top 15 Miss Vietnam 2010.
Baca juga: Pernah berdoa depan Kaabah 2 tahun lepas, Wan Maimunah menangis gembira dapat tunai haji