Selepas tidak lagi mendapat tawaran lakonan, pelakon dan pengarah veteran, AR Badul kini semakin aktif di TikTok melayan para peminatnya.
Biarpun dilabel ‘artis tua’, Badul atau nama sebenar, Armaya Aman Ramlie, 75, berkata dia tidak terasa dengan sindiran kebanyakan pengguna aplikasi media sosial itu.
Dia juga berterus terang bahawa niatnya aktif di platform itu bukan untuk mencari pengikut yang muda-muda.
“Saya pernah disindir di TikTok. Ada yang cakap saya artis tua dan sudah tidak ada ‘job’ (kerja). Tetapi, apa yang saya lakukan di TikTok adalah untuk melayan peminat yang kebanyakan berumur lebih 40 tahun.
“Terus-terang, saya tidak cari pengikut muda. Peminat saya adalah mereka yang tengok wayang saya dari kecil sampailah ke tua,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Sebelum ini, salah seorang pelawak dari kumpulan sitkom Senario iaitu Azlee juga mendapat perhatian ramai selepas membuka akaun di TikTok dan meraih pelbagai hadiah lumayan dari peminatnya.
Sementara itu Badul yang juga filem Prebet Lapok memberitahu, dia mula berjinak-jinak menggunakan TikTok selepas diajak rakannya.
Malah, Badul tidak menyangka sehingga kini sudah mengumpul kira-kira 95,000 pengikut sejak membuka akaun TikTok, tahun lalu.
“Sebelum ini ada seorang rakan artis ajak untuk buat akaun TikTok dan saya cuba. Selepas itu, saya tidak sangka video awal saya meraih kira-kira 40,000 tontonan.
“Kemudian, saya buat video menafikan berita palsu mengenai kematian saya dan dapat lebih 200,000 tontonan. Sejak itu, saya selalu buat video TikTok sebelum disekat,” katanya yang sudah membuka akaun TikTok baharu.
Sementara itu, Badul berkata, hadiah yang diterima daripada pengikut menerusi aplikasi itu dikongsi dengan pengguna yang memerlukan.
“Kalau ada dapat hadiah, tidak semua saya ambil. Contohnya jika dapat ‘gift’ sebanyak RM1, saya bahagikan tujuh peratus saya ambil dan tiga peratus lagi disedekahkan kepada mereka memerlukan.
“Saya bersyukur pada usia yang sudah di penghujung ini, saya dapat kumpul kira-kira 95,0000 pengikut. Ini bukan jumlah yang mudah dikumpul artis veteran seperti saya, tetapi dapat dilakukan,” katanya.
Baca juga: Awas! Jangan laminate geran tanah, boleh dikategori sebagai rosak