Jenama rangkaian minuman kopi tempatan, Zus Coffee membuat permohonan maaf untuk kali kedua selepas menerima kecaman hebat daripada orang ramai.
Zus Coffee dalam kenyataan itu mengakui kekhilafan pihaknya menyampaikan mesej yang kurang jelas tentang pendirian mereka terhadap isu Palestin dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Kenyataan baharu itu turut disertakan dengan perkataan ‘menentang genosid’ dan ‘sokong Palestin’ susulan permohonanan maaf pertama disifatkan sebagai terlalu umum atau berkecuali.
“Kami mengakui bahawa kenyataan sebelum ini tidak cukup jelas dalam menyatakan pendirian terhadap tindakan genosid (pembunuhan kaum beramai-ramai) di Palestin.
“ZUS Coffee berdiri teguh menentang genosid dan menyokong perjuangan untuk kebebasan Palestin. Selaras dengan nilai-nilai yang dikongsi bersama, kami menegaskan kembali komitmen terhadap prinsip-prinsip ini,” jelasnya.
Kenyataan yang dikeluarkan pada pagi Jumaat itu dimuat naik di pelbagai platform media sosial milik rangkaian minuman terbabit termasuk di akaun X dan Instagram.
Syarikat yang berpangkalan di Malaysia itu turut berjanji untuk lebih berwaspada di masa hadapan supaya dapat mencerminkan imej mereka sebagai jenama tempatan.
“Kami berjanji untuk lebih berwaspada dalam membuat keputusan di masa hadapan bagi memastikan ia sentiasa mencerminkan nilai-nilai kami sebagai jenama tempatan Malaysia.
“Terima kasih atas kesabaran dan sokongan anda dalam perjalanan kami untuk terus berkembang dan belajar bersama anda.” Tegas Zus Coffee dalam kenyataan baharu itu.
Terdahulu, pengguna media sosial tempatan meluahkan kekecewaan mereka selepas Zus Coffee melakukan aktiviti ‘giveaway’ bersama jenama sukan antarabangsa, Adidas.
Susulan itu, Zus Coffee tampil membuat permohonan maaf pertama yang disifatkan ‘neutral’ oleh orang ramai sebelum memadam hantaran video promosi bersama Adidas.
Untuk makluman, jenama sukan popular itu didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pengeluar yang berpangkalan di Israel iaitu Delta Galir.
Baca juga: “Cikgumu kafir nak” – Cikgu bukan Islam ketawa dapat sejadah, tasbih digital