Pelakon sitkom popular, Phua Chu Kang iaitu Gurmit Singh tidak menafikan hidangan nasi lemak buatan Malaysia lebih menyelerakan.
Perkara itu diakui pelakon asal Singapura berkenaan selepas membuat kemunculan dalam video yang dimuat naik di akaun TikTok milik personaliti media sosial Malaysia.
Menerusi video yang berdurasi lebih dua minit itu, Singh meminta cadangan restoran yang menghidangkan nasi lemak menyelerakan daripada pemilik akaun @danieldiskl.
Daniel yang merupakan TikToker tempatan itu kemudian membawa Singh ke sebuah restoran terletak di Kuala Lumpur sebelum bertanya soalan ‘cepumas’ kepadanya.
Pemilik nama sebenar Gurmit Singh Virk Chainchal Singh itu diberikan dua pilihan di antara nasi lemak buatan Malaysia atau nasi lemak daripada negara kelahirannya.
Selebriti berusia 59 tahun itu kemudian dengan pantas menjawab Malaysia sebagai negara yang menyediakan hidangan sarapan pagi iaitu nasi lemak lebih digemarinya.
“Nasi lemak manakah yang anda gemari, dari Malaysia atau Singapura?,” soal Daniel kepada pelakon yang sangat popular di negara ini pada awal 2000-an.
“Malaysia!,” jawab Singh yang sempat menegur Daniel kerana langsung tidak teragak-agak dalam memberikan jawapan sama secara serentak.
Dalam video itu, Gurmit Singh dilihat bersahaja malah seperti rakyat tempatan ketika memesan nasi lemak bersama lauk tambahan termasuk bergedil dan ayam goreng.
Pelakon yang terkenal dengan watak komedi itu juga menerima pujian daripada para penonton kerana terlihat tidak kekok ketika makan nasi lemak menggunakan tangan.
Selain nasi lemak, Gurmit Singh juga sangat meminati nasi ayam dan juga hidangan popular masyarakat Cina iaitu Mi Hokkien yang disediakan tukang masak Malaysia.
Gurmit bagaimanapun lebih menggemari beberapa hidangan termasuk Bak Kut Teh, Chili Crab dan Char Kuey Teow yang dihidangkan di negara kelahirannya, Singapura.
Difahamkan, pelakon terbabit datang ke Malaysia untuk mempromosikan rancangan komedinya yang bakal diadakan pada 20 Julai dan 21 Julai depan di Kuala Lumpur.
Rancangan tersebut melibatkan persembahan pentas yang berkonsepkan komedi.
Baca juga: ‘Respect’! Selebriti pertama berani batalkan semua kontrak dengan jenama pro Israel