Sedar diri dah tua, Norlia Ghani akui cuba elak kontoversi masa buat ‘live’ di TikTok

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan selamanya artis ini akan kekal berada dalam industri seni, apabila ada pelapis baru maka yang lama akan mula berundur.

Meskipun begitu masih ada artis veteran yang kekal mendapat watak dalam drama atau telefilem itupun sudah tidak banyak.

Disebabkan itu pelakon veteran Norlia Ghani tidak kecewa jika tidak mendapat tawaran berlakon dek kerana faktor kesihatan dan peluang kerja lebih terhad.

Sudah lebih lima dekad sebagai pelakon, Norlia mengakui dirinya rindu untuk berada di set penggambaran.

“Sebagai pelakon lama yang dah lebih lima dekad terbabit sebagai anak seni, jiwa mahu berlakon saya masih menebal.

“Cuma, saya akur peluang itu dah makin mengecil kerana industri (hiburan) kita pun ada pelakon yang ramai.

“Selain itu, mungkin juga sudah tiada skrip sesuai untuk saya kerana kebanyakan cerita drama sekarang lebih kepada keadaan kehidupan masa kini.

“Saya pula dah warga emas sangat walaupun larat lagi berlakon,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Semakin aktif di TikTok, pelakon berusia 75 tahun itu akui ia hanya sekadar suka-suka dan sekadar mengisi masa lapang.

“Saya aktif di TikTok sejak tahun lalu dengan berkongsi cerita mengenai pengalaman berlakon yang pernah dilalui dulu.

“Boleh dikatakan ‘content’ yang saya buat biasa-biasa saja dan tiada kontroversi langsung.

“Lagi pula, saya sedar diri dah tua dan apa yang dibuat itu (live TikTok) untuk suka-suka hiburkan diri.

“Pada saya, kalau ada yang tak suka (netizen) nak tengok tak payah masuk dan terus ‘skip’. Tak perlu komen apa-apa,” tambahnya.

Pada masa sama dia sebolehnya menolak untuk menjawab persoalan berbaur ‘provokasi’ agar tidak timbul isu berbalah antara netizen.

Malah dia juga lebih berhati-hati tatkala bermain media sosial disebabkan kebanyakan netizen yang masuk tidak semestinya mengenali artis tersebut maka tidak perlu layan lebih.

Baca juga: “Saya orang pertama yang cintakan awak, masih dan sentiasa sayangkan awak” – Ibu Syamsul Yusof