Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Melaka bersama isterinya.
Menerusi hantaran dimuat naik di platform Facebook, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menitipkan doa agar pemimpin Pas dan isterinya itu diberikan kelegaan dan kesembuhan dengan segera.
“Saya mendoakan saudara dan isteri lekas diberi kelegaan dan dikurniakan aafiyah (kesejahteraan dan kesihatan berpenjangan) serta dipermudahkan urusan, Insya-Allah,” kata Anwar dalam perkongsian itu.
Terdahulu, kenderaan yang dinaiki Zulkifli bersama isterinya itu terbabit dengan kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jelatang di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) pada awal pagi semalam.
Akibat daripada kejadian itu, Zulkifli yang juga Pesuruhjaya Pas Melaka dilaporkan mengalami kecederaan ringan dengan luka di kedua-dua belah tangan, manakala isterinya pula mengadu sakit dada.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian Anwar mendapati rata-rata pengguna mengagumi pemimpin nombor satu negara itu kerana menunjukkan akhlak yang baik dalam berpolitik selain turut mendoakan Zulkifli.
Sekadar info, kejadian berlaku sekitar jam 5.20 pagi ketika Zulkifli yang memandu kenderaan jenis Nissan Teana itu berada dalam perjalanan ke Selangor bersama isterinya untuk menghadiri program Muslimat.
Siasatan awal mendapati kenderaan Zulkifli sedang melalui persimpangan lampu isyarat Jelatang, sebelum dirempuh sebuah Perodua Axia dipandu pekerja kilang berusia 30 tahun dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.
Kemalangan itu juga turut menyebabkan pemandu Perodua Axia patah tulang rusuk dan tulang pinggul, manakala tiga penumpang wanitanya pula mengalami kecederaan ringan.
Baca juga: Sebak lihat semangat patriotik rakyat Malaysia, dekat pasar tani pun semua boleh berdiri tegak