Tak mampu sara isteri dan anak, remaja rompak kedai emas ditangkap

Oleh MAISARAH AISYA

Keadaan ekonomi sekarang bukan seperti dahulu, kini nak sara seorang isteri dan anak sahaja sudah sukar.

Disebabkan hal ini ramai ibu bapa keduanya bekerja atau si bapa memilih untuk membuat dua kerja demi menampung keluarga.

Buat remaja berusia 17 tahun di Thailand, terdesak kerana tidak mampu menyara keluarga menyebabkan dia nekad buat keputusan salah.

Kejadian tersebut berlaku di sebuah kedai emas di Ratchada, Bangkok, remaja itu sempat melarikan seutas gelang tangan berharga 200,000 baht (RM25,458).

Menurut laman berita Thaiger, suspek dikatakan masuk ke dalam kedai emas dengan memakai topi dan pelitup muka serta berlakon seolah-olah mahu membeli.

Malah remaja tersebut juga berpura-pura mahu melihat gelang emas ketika dilayan oleh seorang pekerja.

Bagaimanapun sikapnya jelas mencurigakan dengan tangan menggigil ketika memegang gelang tangan menyebabkan pekerja meminta suspek membuka pelitup muka.

Tidak mahu kantoi, suspek dengan pantas melarikan diri dengan gelang emas tersebut sebelum kembali semula ke kedai dengan sepucuk pistol.

Suspek dilaporkan melepaskan dua das tembakan, namun gagal mengenai sesiapa. Dia kemudian melarikan diri menaiki motosikal.

Polis kemudian berjaya mengenal pasti suspek sebagai remaja berusia 17 tahun sebelum menangkapnya pada hari yang sama.

Selepas disoal siasat, suspek yang bekerja sebagai penghantar makanan mengakui dia terpaksa merompak untuk menyara isteri dan anaknya yang berusia setahun.

Suspek juga mendedahkan mempunyai konflik dengan ibunya yang menuduh dia tidak mampu menyara keluarga.

Dia kini berdepan empat dakwaan iaitu menggunakan senjata api untuk melakukan jenayah, cubaan membunuh, membawa senjata api di tempat awam dan memiliki senjata api tanpa kebenaran.

Baca juga: Gadis terkilan, beli nasi lemak ayam tapi dapat nasi lemak daging burger