“Kaki pukul tak akan berubah, sama ada muka ‘handsome’ atau tak” – Shila Amzah kongsi pengalaman peribadi?

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi, Shila Amzah memuat naik satu perkongsian di akaun Instagram miliknya baru-baru ini untuk mengulas isu berhubung kes pukul yang melibatkan seorang bekas peragawati terkenal dan suaminya.

Menerusi satu hantaran di Instagram Story, Shila seakan-akan berkongsi pengalamannya sendiri ketika berdepan dengan individu ‘kaki pukul’ yang disifatkannya tidak akan pernah berubah.

Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Amzah, 34, juga memberikan peringatan kepada mangsa kaki pukul untuk tidak bertindak melulu dengan memaafkan pelaku selepas dipukul.

Mangsa juga tidak seharusnya menilai pasangan mereka berdasarkan fizikal luaran terutamanya jika seseorang itu mempunyai sejarah dalam memukul kekasih atau bekas isteri mahupun suami.

“Saya sudah cakap banyak kali, kaki pukul ini memang tak akan pernah berubah. Sama ada mukanya ‘handsome’ (tampan) atau tak, jangan biarkan mata anda dikaburi oleh fizikal mereka.

“Terutamanya jika anda tahu dia memiliki sejarah dengan bekas pasangan di mana pukul dan maki sudah menjadi makanan harian. Tak kira semasa masih belum berkahwin dan sekadar teman lelaki sekalipun, lari.

“Segelintir mangsa masih menjalinkan hubungan dengan kaki pukul sebab mereka selalu menyangka sudah tiada jalan keluar. Kaki pukul pula pandai, dia buat anda buang semua kawan lalu bergantung padanya 100 peratus,” kesalnya.

Pelantun lagu Patah Seribu itu tidak menafikan bahawa kaki pukul selalunya melayan pasangan seperti puteri raja namun perilaku mereka akan berubah setiap kali baran menguasai diri.

Dalam perkongsian yang sama, Shila turut mengulang siar rakaman bekas peragawati berkongsi pengalaman buruknya bergelar isteri kepada kaki pukul selama 20 tahun selain mengakui diperlakukan seperti hamba.

“Apabila kononnya dia ‘sedar’ perbuatan itu salah, mulalah melutut meminta maaf sampai menangis macam filem Hindustan itu. Kalau masa baik, dia akan layan pasangan konon macam puteri raja.

“Tetapi apabila datang sahaja gila dia itu. Itulah waktu dia akan mendera pasangan semula secara fizikal dan mental. Kitaran itu akan terus berjalan (selagi tidak memutuskan hubungan).” Jelasnya.

Terdahulu, Shila pada bulan Oktober lalu pernah memuat naik gambar mukanya memaparkan bahagian mata yang bengkak dan lebam seperti ditumbuk di dalam hantaran menerusi Instagram Story.

Menurut Shila, gambar tersebut merakamkan satu episod gelap di dalam hidupnya kira-kira 10 tahun lalu yang turut menyebabkan penyanyi itu trauma untuk mengunjungi Pulau Pinang iaitu lokasi kejadian berlaku.

Shila bagaimanapun berjaya berhadapan dengan trauma itu dan mencipta memori baharu selepas memilih negeri tersebut sebagai destinasi percutian bersama suami yang juga seorang pempengaruh iaitu Ubai MZ dan keluarga.

Baca juga: ‘Kalau apa-apa jadi aku ni bapa tak guna’ – Datuk Red