Rozita Che Wan tak layan soalan hutang RM1 juta, aktif jual pakaian terpakai di TikTok

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon sensasi, Rozita Che Wan atau lebih mesra dikenali sebagai Che Ta kini dilihat aktif berniaga pakaian secara dalam talian ketika namanya menjadi bualan berhubung isu hutang mencecah RM1 juta.

Pakaian ‘preloved’ atau terpakai yang dimiliki oleh Che Ta dan keluarganya itu dijual oleh pelakon terbabit menerusi beberapa sesi siaran langsung di platform media sosial TikTok miliknya.

Suami Che Ta yang juga merupakan seorang pelakon iaitu Zain Saidin turut ikut serta dalam sesi siaran langsung itu di mana mereka mempromosikan pakaian terpakai dalam harga mampu milik buat penonton.

Sesi siaran langsung yang mula diadakan pada sekitar jam 9 malam itu nyatanya menarik perhatian ramai sehingga berjaya meraih tontonan lebih dari 20,000 pengguna dan kira-kira 200,000 tanda suka.

Tinjauan mendapati rata-rata penonton tidak melepaskan peluang untuk mengasak pertanyaan demi pertanyaan kepada pelakon berkenaan mengenai hutangnya dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Walau bagaimanapun, persoalan tersebut langsung tidak diendahkan oleh Che Ta sebaliknya watak utama di dalam drama Kiah Perkasam itu fokus menjual pakaian dengan bantuan suami.

Dalam sesi siaran langsung yang sama, pelakon berusia 51 tahun itu mendedahkan bahawa aktiviti menjual pakaian terpakai sudah lama dilakukannya iaitu sejak tahun 2016 namun di dalam platform lain.

Terdahulu, kediaman mewah milik Che Ta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor diserbu oleh pihak Mara pagi semalam untuk menyerahkan writ dan melakukan penilaian barangan bagi tujuan penyitaan.

Hal ini berikutan Che Ta telah gagal menjelaskan hutang pinjaman perniagaan berjumlah hampir mencecah RM1 juta daripada agensi berkenaan yang dipinjamnya pada tahun 2017.

Difahamkan ketika serbuan berkenaan dilakukan, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu tiada di rumah begitu juga dengan Zain Saidin malah ada juga yang mendakwa pelakon terbabit sebenarnya sudah berpindah.

Hanya kelibat ibu Rozita sahaja yang terlihat mendiami kediaman mewah dua tingkat itu namun selepas sejam pihak Mara membuat penilaian, anak sulungnya iaitu Ammar Effendi dilihat memasuki rumah tersebut.

Baca juga: “Sengaja tak bayar hutang, boleh pula peraga kemewahan di media sosial” – Pengerusi Mara