Buku pempengaruh didakwa mengandungi petikan bukan daripada al-Quran, netizen gesa KDN bertindak

Oleh MALAYSIADATELINE

Beberapa keping gambar yang memaparkan halaman sebuah buku ditulis seorang usahwan dan pempengaruh media sosial menjadi tular di media sosial.

Ini adalah selepas timbul dakwaan buku berkenaan mengandungi kesilapan melibatkan petikan ayat al-Quran, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Perkongsian itu dimuat naik oleh pengguna media sosial, Fatin (@fatindrawin), yang mempersoalkan sama ada seseorang penulis wajar melakukan sendiri proses penulisan dan penyuntingan (proofreading) sesebuah buku.

Menurut pemilik akaun berkenaan, perkongsian itu bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak.

Sebaliknya dia mahu orang ramai lebih peka sekiranya dakwaan mengenai kesilapan dalam buku tersebut benar-benar berlaku.

“Tiada niat nak menjatuhkan sesiapa, tapi kalau buku ni memang terbukti ada kesilapan, kita saling aware lah ya,” tulisnya.

Di ruangan komen, seorang Penulis Tadabbur Al-Quran, Fakhri Fadzli mendakwa kesilapan yang ditemui bukan sekadar membabitkan baris atau tanda bacaan.

Malah dia juga mendakwa terdapat petikan yang bukan daripada ayat al-Quran.

“Kesalahan ‘ayat al-Quran’ dalam beberapa muka surat ini bukan kesalahan seperti tersilap baris atau titik, ini reka terus ayat yang tidak ada dalam al-Quran.

“Sangat-sangatlah tidak patut. Buku ini sepatutnya ditarik daripada pasaran dan dilupuskan. Mohon Kementerian Dalam Negeri bertindak segera,” dakwanya.

Dalam pada itu, pengguna Threads, Hafizah Hussin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak setiap dalil yang dibaca dengan merujuk kepada sumber yang sahih.

“Selepas semak beberapa kali dalil-dalil yang ada dalam buku ni, saya termenung terfikirkan pembaca lain yang mungkin menyerap semua kandungan dalam buku ni.

“Kepada semua pembaca, rujuklah kembali bahan pembacaan kita dengan sumber yang sahih iaitu Al-Quran dan Hadith…

“Zaman sekarang ni penulis bebas menulis apa sahaja walau pengetahuan mereka tidak dalam, apatah lagi dengan bantuan AI. Wallahua’lam.

“Moga kita dilindungi dari bahan pembacaan yang tidak sahih, terutamanya ilmu-ilmu agama,” jelasnya.

Baca juga: Kisah pengasas WhatsApp yang dahulunya bergelut untuk sesuap nasi, kini jadi bilionair terkenal