Peguam kotak pensel akan ‘live’ malam ini, bapa bayi dibeku hospital dijangka hadir bersama

Oleh WAN SITI AMINAH

Bapa kepada jenazah bayi yang dibekukan selama 16 hari iaitu Muhammad Adham Mikail dijangka akan muncul di dalam satu sesi siaran langsung malam ini bersama peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Sesi siaran langsung yang bakal diadakan menerusi akaun media sosial milik Datuk Zaharil atau lebih dikenali ramai sebagai ‘peguam kotak pensel’ itu dijangka bermula pada pukul 9 malam.

Menurut Datuk Zaharil, pertemuan itu adalah hasil inisiatif dari Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) iaitu Wan Cai yang tampil menghubunginya selepas peguam terbabit menyatakan kesediaannya untuk membantu.

“Memang Wan Cai yang telefon dan ketika itu juga, bapa arwah si mati berada dengannya. Kebetulan pihak media juga ada menghubungi saya pada hari yang sama untuk tujuan wawancara.

“Tidak lama kemudian, Wan Cai telefon mengatakan bapa kepada mangsa menyatakan kesediaannya untuk tampil bersama. Jadi esok Insya-Allah pukul 9 malam saya akan buat siaran langsung kalau dia akan datang.

“Kalau bapa mangsa tak datang pun saya akan buat siaran langsung juga sebab wartawan tetap hadir. Sekurangnya pihak media akan tahu apa sebenarnya yang telah berlaku,” kata Datuk Zaharil.

Perkembangan baharu itu dikongsikan oleh Datuk Zaharil menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya semalam yang sempat dirakam penonton sebelum dimuat naik semula di platform berkenaan.

Terdahulu, Datuk Zaharil mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas menyatakan hasratnya untuk membantu ibu bapa Adham Mikail sekiranya mereka mahu mengambil tindakan undang-undang.

Peguam yang berusia 58 tahun itu turut mempersoalkan tindakan hospital swasta kerana telah menahan mangsa selama 16 hari dan menyifatkan perbuatan tersebut salah selain mempunyai elemen jenayah.

“Apa hak pihak hospital nak tahan dan apakah undang-undang yang diguna pakai. Nak kata pakai perjanjian? Itu hanyalah bukti mangsa pernah datang ke hospital. Tetapi bila hospital tahan mangsa, itu satu bentuk elemen jenayah.

“Kenapa hospital buat tindakan sendiri dan tak bawa ibu arwah ini ke balai polis? Ada sahaja balai berdekatan dengan hospital. Faktanya di sini adalah pihak hospital tahan jenazah anak itu selama dua minggu.

“Sepatutnya tak perlu disimpanlah sebab anak itu sudah tiada (meninggal dunia). Suruh ibu bapa arwah datang jumpa aku. Mari aku saman pihak hospital. Aku mesti akan lawan,” ujarnya sebelum ini susulan kes bayi dibeku itu tular di media sosial.

Isu jasad bayi yang dibekukan oleh sebuah hospital swasta di Klang, Selangor itu mula menjadi topik perbincangan hangat susulan didedahkan oleh Wan Cai menerusi akaun Facebook miliknya.

Wan Cai mendakwa pihak hospital itu tidak memberikan kebenaran untuk mengeluarkan jenazah bayi bagi tujuan pengebumian malah ibu yang melahirkan anak istimewa terbabit turut ditahan selagi bil kelahiran tidak dilunaskan.

Tindakan hospital itu disifatkan tidak berperikemanusiaan malah pasukan Wan Cai yang menguruskan jenazah bayi berkenaan juga berhadapan dengan kesukaran berikutan badan mangsa sudah mengeras.

Sekadar info, Muhammad Adham hanya sempat melihat dunia selama 30 minit sebelum menghembuskan nafas terakhirnya asbab dilahirkan tidak cukup sifat iaitu hanya mempunyai satu mata, tiada hidung dan saluran lubang najis.

Baca juga: Pengurus jenazah terpaksa jirus campur air panas, jasad bayi dibeku sebab bapa tak mampu bayar bil