Bila duit ada banyak depan mata maka senanglah untuk kita habiskan kesemua wang dalam sekelip mata sahaja.
Itulah penting untuk merancang pengunaan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana itulah sumber pendapatan selepas bersara.
Begitulah nasib seorang bekas pengurus sebuah syarikat jualan langsung bahagian Pantai Timur lapor Sinar Harian.
Wang KWSP berjumlah RM750,000 yang diperolehnya habis dalam tempoh tujuh tahun digunakan untuk mengubah suai rumah dan kenduri kahwin anak.
Abdul Rahman Abdullah memaklumkan duitnya mula susut untuk menampung kehidupan sepanjang tempoh persaraan bermula pada tahun 2017.
Lelaki berusia 64 tahun itu memaklumkan dia mengambil keputusan untuk bersara pada usia 57 tahun selepas berkhidmat selama 27 tahun bersama syarikat yang berpangkalan di luar negara itu.
“Saya menerima wang persaraan berjumlah RM750,000 iaitu RM500,000 Akaun 1 manakala RM250,000 Akaun 2.
“Duit itu digunakan untuk mengubah suai rumah kira-kira sebanyak RM200,000 merangkumi pembinaan pagar konkrit, menambah bahagian dapur dan garaj.
“Sebanyak RM70,000 lagi digunakan untuk melaksanakan kenduri kahwin dua anak perempuan pada tahun 2016 dan 2018.
“Manakala selebihnya habis digunakan bagi belanja makan, minum, kos elektrik, air dan internet serta petrol kereta sepanjang bersara,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Jelas bapa kepada lima anak itu, pengubah suaian rumah dilakukan untuk beri keselesaan buat anak apabila mereka pulang ke kampung pada musim perayaan.
Tambahnya lagi, kos sara hidup yang tinggi pada masa kini dengan harga barangan lebih mahal juga menyebabkan wang persaraan tersebut cepat habis.
“Setiap kali keluar membeli lauk-pauk, perlu ada RM100 atau lebih dan nasihat saya kepada pesara agar perlu berjimat-cermat.
“Ini supaya wang KWSP dapat terus membantu kehidupan selepas tidak bekerja.
“Cuma saya bernasib baik kerana isteri (62 tahun) ialah pesara kerajaan yang menerima sejumlah pencen.
“Dan ini dapat membantu menampung perbelanjaan kami seterusnya dalam menghabiskan usia tua,” katanya.
Baca juga: Jatuh cinta dengan negara Jepun, lelaki tempatan ini sanggup beli rumah RM800,000 di Yokohama