Ibu 2 anak terkejut dilamar bekas abang ipar lepas bercerai, rupanya dah lama simpan perasaan

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah terkejutnya seorang wanita apabila bekas abang iparnya tiba-tiba meluahkan hasratnya untuk menghantar rombongan meminang ketika ‘usia’ penceraiannya belum genap setahun.

Namun apa yang lebih memeranjatkan wanita berkenaan adalah pengakuan bekas abang iparnya bahawa perasaan suka itu sudah lama wujud iaitu sebelum dirinya dilamar menjadi isteri kepada adik lelaki terbabit.

Perasaan itu bagaimanapun hanya dipendam sehingga pemuda terbabit memutuskan untuk berhijrah ke luar negara untuk menyambung pelajaran dan terus bekerja di sana bagi mengubati kekecewaannya.

Tetapi situasi mulai berubah apabila wanita yang berusia 30 tahun terbabit terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai ekoran bekas suaminya menjalinkan hubungan dengan perempuan lain.

“Saya memiliki dua orang anak. Berpisah dengan bekas suami sebab dia ada hubungan dengan orang lain. Tetapi sekarang ini, bekas abang ipar pula menghantar pesanan melalui Whatsapp beritahu nak masuk meminang saya.

“Kepala saya ‘jammed’. Bekas abang ipar berusia 36 tahun, masih bujang. Rupa-rupanya ketika datang merisik saya untuk adik lelakinya, dia sudah jatuh hati. Kemudian selepas saya dan adiknya berkahwin, dia bawa diri.

“Bekas abang ipar sambung belajar dan bekerja terus di United Kingdom (UK),” kongsi wanita itu yang mengakui merasa keliru pada mulanya sebaik menerima pengakuan dari lelaki terbabit.

Wanita itu akhirnya memberi kata putus apabila ibu dan bapa mentuanya datang ke rumah untuk meminangnya buat kali kedua bagi anak mereka namun kali ini terpaksa menolaknya.

Hal ini berikutan ibu kepada dua cahaya mata itu merasa sudah cukup bahagia apabila hidup bersama anak-anak selain hatinya juga masih belum terbuka untuk kembali bergelar isteri.

“Ibu dan bapa mentua baru balik dari rumah aku. Jadinya, aku tolak lamaran mereka secara baik. Mereka juga minta maaf bagi pihak bekas suami aku. Dia juga nak berkahwin lagi dengan perempuan hari itu.

“Sudah enam bulan aku melupakan kisah lama dan hidup gembira dengan anak-anak. Ibu dan bapa mentua aku itu baik. Sebentar tadi adalah kali pertama aku nampak bapa mentua keluar air mata ketika cakap fasal bekas suami.

“Kecewa betul dia. Untuk bekas abang ipar pula. Memang aku keliru sekejap sebab tak sangka. Bukan dia tiada rupa, cuma hati ini tak terbuka untuk berkahwin. Aku doakan dia jumpa jodoh yang baik, cantik dan pandai macam dia. Amin.” Ujarnya.

Perkongsian itu dibuat oleh wanita berkenaan menerusi hantaran tular yang dimuat naik di platform media sosial X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Baca juga: “Biras aku bagi alasan ada anak kecil, 9 tahun kahwin pun tetap tak masuk dapur, reti ‘melantak’ je”