Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Jepun selama tiga hari bermula esok dalam rangka perbincangan kerjasama strategik dengan negara itu.
Anwar difahamkan akan bertemu dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi dalam lawatan atas jemputan kerajaan negara itu untuk membincangkan isu dua hala dan antarabangsa termasuk perkembangan situasi di Asia Barat.
Menurut laporan NHK World yang memetik Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Minoru Kihara, kedua-dua pemimpin itu juga akan memeterai kerjasama lintas bidang terutamanya dalam sektor keselamatan dan ekonomi.
Kihara dalam satu sidang media dilaporkan berkata, Jepun dan Malaysia telah membina hubungan diplomasi kukuh sebagai rakan strategik yang komprehensif dalam berkongsi nilai dan prinsip asas.
Jelasnya, hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia adalah sangat penting untuk merealisasikan visi Indo-Pasifik yang bebas serta terbuka selain berharap persahabatan kedua-dua negara terjalin dengan lebih erat.
Dalam pada itu, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan turut dijadual menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo dan memberi ucaptama dalam Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia Nikkei Ke-31.
Beliau juga akan menyertai sesi meja bulat perniagaan bersama tokoh-tokoh industri Jepun bertujuan untuk meneroka peluang pelaburan bernilai tinggi baharu di Malaysia.
Sekadar info, Jepun adalah salah satu rakan kongsi ekonomi yang penting buat Malaysia sebagai rakan dagang kelima terbesar negara sejak 2024 dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak US$33.39 bilion (RM142.96 bilion) pada tahun lalu.
Malah setakat Disember 2025, sekitar 2,872 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan di Malaysia merekodkan jumlah pelaburan mencecah RM107.9 bilion.
Baca juga: PM Anwar rancang ke Turkmenistan, korban jadual padat demi kerjasama zon telaga gas