Tak kisah dilabel jahat, Hana tak akan lupa ‘sahabat’ yang buat dirinya muflis

Oleh MAISARAH AISYA

Diisytihar muflis atas khilaf sendiri tak sesakit nama digunakan rakan untuk membeli kenderaan dan gagal melunaskan pembayaran.

Meskipun bukan kes baru, namun perkara itu masih segar dalam ingatan bekas penyanyi kumpulan Elite, Hana Adnan.

Sebelum ini, Hana pernah diisytihar muflis pada 1 April 2013 selepas Watie yang menggunakan namanya untuk membeli sebuah kereta Toyota Wish pada tahun 2005.

Namun Watie didakwa gagal menjelaskan pinjaman bank sejak September 2010 menyebabkan dirinya mendapat kesan negatif.

Disebabkan itu Hana mengakui dia tidak mungkin kembali berkawan dengan Watie selepas kejadian yang beri kesan mendalam pada dirinya lapor Kosmo! Online.

“Hampir 10 tahun saya diisytihar muflis. Kejadian itu benar-benar membuatkan saya tertekan. Saya penat naik turun mahkamah. Saya hilang keluarga, hilang kerjaya, hilang keyakinan diri dan hilang segalanya.

“Apa yang berlaku pada saya, kalau orang tak kuat mungkin boleh terus jatuh tersungkur. Tetapi saya bersyukur kerana masih dikurniakan ahli keluarga dan sahabat yang banyak menyokong saya.

Tetapi untuk kembali bersahabat dengan dia (Watie) perkara itu tidak mungkin terjadi sama sekali. Maaf cakap. Biarlah orang nak kata saya jahat, tetapi saya tidak perlukan kawan seperti itu,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sudah lama menyepi dalam industri hiburan, Hana mengakui dirinya kalau mahu kembali semula sekalipun ia bukanlah dalam bidang nyanyian sebaliknya hanya peragaan.

Kalau saya nak buat ‘comeback’ pun mungkin dalam bidang peragaan. Tetapi tunggulah beberapa tahun lagi,” ujarnya.

Baca juga: Che Ta tunjuk gambar selesai bayar cukai LHDN RM50,000