Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali menyingkap kisah takhta ‘isteri kedua’ yang pernah menjadi bahan jenaka beliau dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada tahun lalu dalam pertemuan mereka semalam.
Menerusi pertemuan dua hala sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia itu, Anwar secara berseloroh memaklumkan bahawa beliau masih kekal setia kepada seorang isteri iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Penjelasan Anwar itu sekali gus berjaya mengundang gelak tawa Putin seperti dipaparkan dalam rakaman video pertemuan mereka yang dikongsikan di akaun Facebook milik pemimpin nombor satu negara terbabit.
“Saya sekali lagi singkap kisah tiga takhta di Dewan Agung St. Andrew yang pernah menjadi bahan jenaka antara kami. Rupa-rupanya cerita itu bukan sahaja kekal dalam ingatan, malah menjadi tular hingga ke serata dunia.
“Saya sempat berseloroh bahawa walaupun kisah tersebut terus diperkatakan, saya masih tetap dengan pendirian sama yakni Azizah kekal satu-satunya isteri saya,” katanya dalam perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.
Anwar dalam perkongsian tersebut memberitahu bahawa pertemuan diadakan untuk membincangkan kerjasama strategik dua hala itu berlangsung dalam suasana yang cukup mesra dan penuh keakraban.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa situasi tersebut sekali gus turut mencerminkan hubungan baik yang terus diperkukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Pada Mei tahun lalu, Putin dalam sidang media diplomatik berkongsi satu detik lucu yang berlaku ketika Anwar yang juga Menteri Kewangan itu mengadakan lawatan rasmi ke Istana Kremlin.
Kejadian berlaku semasa Anwar dibawa melawat ke Dewan Agung St. Andrew di mana Putin menunjukkan tiga takhta yang lazimnya diperuntukkan kepada tsar, tsarina, dan satu lagi tanpa label.
Putin kemudian bertanyakan pendapat Anwar mengenai pihak yang layak duduk di takhta ketiga sebelum Ahli Parlimen Tambun itu bertindak memberi jawapan secara spontan iaitu ‘second wife’ atau untuk isteri kedua.
Perkongsian tersebut mengundang gelak tawa mereka yang menghadiri sidang media itu sebelum Putin kemudian membalas secara berseloroh, ‘Itulah jawapan seorang Muslim sejati, wakil budaya Islam’.
Anwar lantas menerangkan bahawa dirinya hanya memiliki seorang isteri sahaja manakala susunan sebenar merangkumi takhta tengah untuk Tsar (pemerintah), takhta kiri buat Tsarina (isteri Tsar) dan takhta kanan atau ketiga adalah ibu Tsar.