Tindakan seorang pelukis tempatan memberikan nafas baharu kepada tugu kucing ikonik di Bulatan Padungan, Kuching, Sarawak meraih pujian orang ramai di platform media sosial.
Mana tidaknya, penampilan tugu itu sebelum ini dikecam kerana dilihat menakutkan malah tampak seperti dirasuk ekoran pemilihan warna matanya yang hitam manakala kelopaknya pula berona merah.
Renungan dari mata tugu kucing tersebut rupanya turut meninggalkan kesan kepada pelukis kelahiran Sarawak dikenali sebagai Gerald Goh yang sering menggunakan laluan di Bulatan Padungan itu.
Gerald Goh akhirnya mengambil keputusan menawarkan dirinya sendiri untuk melukis semula bahagian mata dan memanjangkan ‘senyuman’ tugu itu selepas terganggu dengan renungan garang kucing berkenaan.
Perkara itu dikongsikan oleh rakan Goh menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah laman kumpulan Facebook bersama beberapa gambar memaparkan proses lakaran tersebut.
“Baru-baru ini, rakan artis saya iaitu Gerald Goh melukis di tugu kucing ikonik di Bulatan Padungan. Saya bertanya mengapa dan siapakah yang memintanya untuk melukis di tugu tersebut.
“Katanya dia sudah tak tahan melihat mata yang garang merenungnya setiap kali melalui Bulatan Padungan. Lebih teruk lagi apabila memikirkan bahawa sepasang mata yang sama merenung kamera pelancong.
“Jadinya dia menawarkan diri untuk melukis di atas mata yang lama dan memberikan nafas baharu kepada ikon Kuching ini dengan wajah yang lebih bergaya dan dilihat seperti tersenyum,” katanya dalam perkongsian itu.
Dalam hantaran yang sama, individu itu memaklumkan bahawa Goh memilih warna biru untuk melambangkan visi ‘biru sejati’ iaitu matlamat jelas mengenai kemajuan pembangunan Kuching dan Sarawak.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna mengucapkan terima kasih di atas usaha Goh selain memuji penampilan tugu berkenaan yang tampak lebih ‘hidup’, bertenaga, cantik dan terlihat mesra.
Malah ada juga individu menyifatkan bahawa pemilihan rona biru untuk warna mata baharu bagi tugu berkenaan sebagai keputusan yang sangat tepat kerana bentuknya memang menyerupai kucing Siam.
Baca juga: Tak perlu susah-susah jahit kaki langsir yang meleret, lelaki tunjuk cara DIY guna seterika