Tawar bayaran lumayan, pelakon terkejut ada yang letak syarat kena buka tudung!

Oleh MALAYSIADATELINE

Masih ada sesetengah pihak yang tidak menghormati pilihan pelakon wanita yang sudah berhijrah dan memakai tudung.

Hingga ada yang sanggup menawarkan bayaran lumayan dengan syarat tudung perlu dibuka kepada pelakon wanita.

Disebabkan itu pelakon Neera Azizi memilih untuk menolak tawaran sebuah drama 50 episod atas dasar prinsip lapor Kosmo! Online.

Meskipun baru sahaja mengenakan hijab ketika ditawarkan syarat sedemikian, namun dia tidak mahu menipu diri sendiri dan penonton dengan membuka aurat semula.

“Memang saya dapat banyak tawaran berlakon selepas pakai tudung termasuk drama bersiri 50 episod tetapi watak yang saya ‘free hair’ sebab produksi tak tahu saya dah berhijab.

“Mereka sarankan saya buka tudung masa penggambaran dan pakai semula selepas itu dengan alasan orang tak tahu saya sudah berhijrah ketika itu.

“Takkan saya mudah gelap mata? Saya enggan tipu diri sendiri dan netizen, jadi saya tolak. Tidak mengapa, saya yakin banyak lagi tawaran lain,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu Neera mengakui itu adalah sebahagian daripada ujian bertudung dan bersyukur menerima tawaran sebagai penyampai radio dan kini mendapat watak bersesuaian dengan imejnya.

“Sebenarnya semua ini ujian buat saya yang baru belajar bertudung bermula pertengahan 2024 selain melihat sejauh mana ketahanan jiwa saya.

“Tawaran diberikan besar tapi selepas itu saya dapat rezeki lebih bermakna seperti menjadi penyampai radio dan terbaharu berlakon filem Hukum Kifarah.

“Insya-Allah, kita kena selalu bersangka baik. Saya bertuah mempunyai sokongan kuat insan sekeliling terutama keluarga dan tunang,” ujarnya.

Baca juga: Tak kisah dilabel jahat, Hana tak akan lupa ‘sahabat’ yang buat dirinya muflis