ADUN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menyeru rakyat Malaysia supaya sama-sama menyokong projek Bandar Wakaf sebagai sebahagian usaha pembangunan semula Gaza, Palestin.
“Langkah ini menonjolkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang dihormati masyarakat antarabangsa, terutamanya apabila projek ini bukan sahaja membantu membina semula Gaza tetapi juga mempromosikan model wakaf yang unik dan inovatif.
“Lebih membanggakan, dana bantuan ini datang daripada independent fund dan sumbangan sektor korporat, yang menunjukkan kepercayaan tinggi pelbagai pihak terhadap kemampuan dan keikhlasan negara kita,” kata Syed Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Altimet sebelum ini.
“Ia adalah cerminan Malaysia Madani yang menjunjung nilai kemanusiaan sejagat dan solidariti bersama rakyat Palestin.
Beliau menambah bahawa bantuan yang diberikan ini tidak akan memiskinkan Malaysia.
Sebaliknya ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan manusia.
“Saya ingin mengingatkan agar kita tidak terpengaruh dengan segelintir pihak yang mungkin cemburu dengan pengiktirafan yang diterima oleh PMX sehingga memperlekehkan usaha murni ini.
“Sebagai rakyat yang bijaksana, kita harus mengenepikan polemik dan menyokong usaha yang membawa manfaat kepada umat sejagat. Seperti kata pepatah, “Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.” Bantuan seperti ini tidak akan memiskinkan kita, malah ia adalah pelaburan untuk kesejahteraan umat manusia.
“Projek Bandar Wakaf ini adalah bukti nyata keprihatinan dan kepimpinan Malaysia di mata dunia.
“Dengan pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor dan Sekolah Malaysia di Gaza, ia tidak hanya memberikan keperluan asas kepada rakyat Palestin, tetapi juga harapan baru untuk masa depan mereka.”
Baca juga: Penunjuk perasaan banjiri Kedutaan Malaysia di Jakarta, lempar telur sebagai tanda protes