Selepas 52 tahun, Malaysia dan Switzerland runding semula perjanjian pengelakan cukai berganda

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia dan Switzerland selesai mengadakan Mesyuarat Pusingan Kedua Rundingan Semula Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (PPPDK) yang berlangsung di Putrajaya selama empat hari bermula 22 hingga 25 Jun lalu.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan rundingan itu diadakan bersama State Secretariat for International Finance (SIF) Switzerland bagi mengemas kini PPPDK yang dimeterai antara kedua-dua negara.

Jelasnya, semakan itu penting bagi memastikan perjanjian berkenaan kekal relevan dengan standard percukaian antarabangsa semasa serta perkembangan landskap ekonomi global.

Menurut kementerian itu, Malaysia dan Switzerland telah memeterai PPPDK pada tahun 1974 sebagai perjanjian dua hala bagi mengelakkan individu serta syarikat dikenakan cukai dua kali ke atas pendapatan antarabangsa yang sama.

Selain menetapkan hak percukaian yang jelas antara Malaysia dan Switzerland, perjanjian itu turut memudahkan perkongsian maklumat antara pihak berkuasa cukai kedua-dua negara.

Pada masa sama, ia dijangka menggalakkan pelaburan asing serta perdagangan rentas sempadan dengan memberikan kepastian cukai yang lebih baik kepada pelabur dan perniagaan.

MOF berkata, rundingan kali ini merupakan kesinambungan kepada pusingan pertama yang diadakan di Bern, Switzerland pada Disember tahun lalu.

“Rundingan ini bertujuan mengemas kini PPPDK sedia ada agar selaras dengan keperluan semasa standard percukaian antarabangsa, selain mengambil kira perubahan landskap ekonomi global dan model perniagaan yang semakin berkembang,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF, kedua-dua delegasi mengadakan perbincangan dalam semangat kerjasama yang tinggi serta komited untuk mencapai persetujuan yang seimbang dan mampu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan di Malaysia dan Switzerland.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican, turut mengadakan pertemuan dengan delegasi kedua-dua negara.

Beliau menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh kerjasama dalam bidang percukaian serta mempererat hubungan dua hala antara Malaysia dan Switzerland yang telah terjalin sejak sekian lama.

Baca juga: Pemilik kenderaan diesel perlu tahu! Ini 3 penambahbaikan sistem subsidi dilakukan kerajaan