Siapa sangka, seorang wanita berjaya meraih ‘pendapatan’ sebanyak RM700 sehingga RM1,000 dalam masa satu hari sahaja dengan hanya menjadi peneman kepada individu bergelar Datuk.
Perkara itu didedahkan oleh seorang wanita yang pernah terjerumus di dalam dunia ‘Sugar Baby’ ketika bergelar pelajar universiti sebelum membuat keputusan untuk berubah mencari pekerjaan halal.
Menurut wanita dikenali sebagai El itu, kejadian bermula ketika dirinya sangat terdesak memerlukan wang ringgit demi kelangsungan hidup sebelum rakannya menawarkan satu peluang ‘pekerjaan’.
El dikatakan hanya perlu menjadi peneman kepada para individu bergelar Datuk untuk berhibur seperti pergi ke pusat karaoke, membeli-belah, bermain golf dan makan sebelum menerima bayaran lumayan.
Perkara itu didedahkan oleh El menerusi satu sesi temu bual bersama penyampai radio Kool 101 di mana sedutan rakamannya turut dimuat naik menerusi akaun TikTok milik stesen berkenaan.
“Saya ada ‘sugar daddy’ sebab adanya mak ayam. Waktu zaman belajar dahulu, saya memang terdesak nak pakai duit. Kemudian kawan saya tawarkan kerja untuk teman Datuk-Datuk.
“Saya perlu teman Datuk-Datuk ini pergi karaoke, makan, atau membeli-belah. Saya pernah teman satu individu ini main golf. Daripada pukul 1 petang sampai 5 petang. Hari itu dapat duit dalam RM700 hingga RM1,000,” katanya.
Dalam perkongsian yang sama, El mengakui menerima bayaran dalam kadar berbeza dalam pertemuan bersama individu berstatus tinggi ini bergantung kepada jenis perkidmatan dimahukan pelanggan.
Wanita terbabit juga tidak perlu menggunakan sebarang aplikasi temu janji untuk mencari pelanggan berikutan Sugar Daddy berkenaan yang akan memperkenalkannya kepada rakan-rakan berstatus tinggi lain.
Mengulas lanjut mengenai pelanggan, El memaklumkan bahawa syarat-syarat tertentu telah ditetapkan sebelum menerima sebarang tawaran untuk menjadi peneman kepada individu bergelar Datuk ini.
“Mereka ada macam satu ‘peraturan’. Sekiranya dibayar sebanyak RM700, memang terhad untuk menjadi peneman sahaja. Kalau nak perkhidmatan lebih daripada itu, ada bayaran lain.
“Macam saya pula akan tanya dahulu status perkahwinan pelanggan sebelum terima tawaran. Sama ada individu itu sudah berkahwin atau sebaliknya. Kalau suami orang, saya tak ambil.” Ulasnya lagi.
Walaupun memperoleh pendapatan lumayan dengan hanya menjadi peneman, wanita itu akhirnya berhenti berkecimpung dalam kegiatan tersebut setelah menemui pekerjaan halal.
Wanita berkenaan kini mampu menyara hidupnya sendiri selepas memperoleh pekerjaan tetap tanpa perlu lagi bergantung kepada individu bergelar ‘Datuk’ untuk mencari rezeki.
“Sekarang saya sudah berubah. Saya juga sudah ada kerja tetap. Saya berhenti sebab rasa perkerjaan Sugar Baby itu macam tak halal untuk mencari rezeki.” Jelas wanita berkenaan dalam perkongsian itu.
Sekadar info, satu kajian dijalankan oleh portal Seeking Arrangement mendapati Malaysia menduduki tempat ketiga dalam senarai Sugar Daddy tertinggi di Asia yang mana sekitar 32,500 individu dipercayai terlibat dalam aktiviti sedemikian.
Baca juga: Pernah menang RM1 juta dalam rancangan Jutaria, ramai dah tak tahu kemana menghilang Ahmad Samerin