Anak Dr Sheikh Muszaphar tak mahu pergi sekolah, panik dapat surat cinta dari rakan sekelas

Oleh WAN SITI AMINAH

Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi situasi mencuit hati melibatkan anaknya iaitu Noah.

Sheikh Muszaphar menerusi satu hantaran dimuat naik di akaun Instagram miliknya secara berseloroh berkata bahawa Noah berhadapan dengan ‘detik cemas’ selepas menerima sepucuk surat daripada rakan sekelasnya.

Surat itu dikirim oleh seorang kanak-kanak perempuan untuk meluahkan rasa sukanya terhadap Noah dengan kata-kata manis iaitu ‘I love you’ yang memberi maksud ‘saya cintakan awak’.

Perkara itu bagaimanapun membuatkan anak Sheikh Muszaphar merasa panik hingga sanggup mendapatkan keizinan daripada bapanya untuk ponteng sekolah selama satu hari.

“Noah berada di dalam dilema. Dia menghantar mesej kepada saya malam tadi. Saya masih di Sibu. Dia di dalam situasi panik. Seorang gadis menulis surat kepadanya mengatakan ‘Saya Cintakan Awak’.

“Sekarang dia tidak mahu pergi ke sekolah. Dia pemalu, takut dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka berdua baru Darjah Dua sekarang. Ini hanyalah sekadar perkongsian.

“Sebagai catatan tambahan, kanak-kanak perempuan ini memang matang lebih cepat daripada kanak-kanak lelaki,” katanya yang turut memuat naik perbualan bersama Noah dalam perkongsian itu.

Rakaman perbualan berdurasi satu minit 22 saat itu turut dikongsikan di platform TikTok di mana Sheikh Muszaphar memberikan tunjuk ajar kepada anaknya tentang kaedah untuk berhadapan dengan situasi sedemikian.

Menurut Sheikh Muszaphar, anaknya seharusnya berani menghadapi situasi sedemikian dan tidak sepatutnya memilih untuk bersembunyi dengan tidak menghadirkan diri ke sekolah.

Jelasnya, Noah juga tidak perlu merasa malu sebaliknya terharu apabila seseorang itu berani meluahkan perasaan mereka selain berhadapan dengan situasi tersebut seperti lelaki budiman.

“Anda tidak boleh bersembunyi daripada dia buat selama-lamanya. Jangan pernah lari dari perempuan. Sentiasa berdepan dengan mereka seperti seorang lelaki yang budiman. Ucapkan terima kasih atas perasaannya itu.” Ujarnya.

Baca juga: Mak terkejut anak Tingkatan 2 hamil 6 bulan, ‘buat sekali je, boyfriend kata takkan mengandung’