Kisah pengasas WhatsApp yang dahulunya bergelut untuk sesuap nasi, kini jadi bilionair terkenal

Oleh KIM SYAZIE

Jan Koum, pengasas aplikasi WhatsApp ternyata menjalani kehidupan dalam suasana penuh tekanan sepanjang beliau membesar sebelum menjadi seorang bilionair.

Menurut AFP, Joum membesar ketika konflik politik melibatkan Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR), di mana segala yang dilakukan orang ramai, telah pun didengar, dan direkod sehingga mereka tiada privasi sendiri.

Selepas runtuhnya komunisme di Eropah Timur, ibunya memutuskan untuk mereka berpindah dan memulakan hidup baharu di Amerika Syarikat (AS).

Namun, kehidupan baharu mereka di Mountain View, California, AS juga tidak semudah disangka.

Lebih menyedihkan apabila ibunya didiagnos penyakit kanser sejurus tiba di negara itu sehingga mereka terpaksa bergantung pada bantuan kewangan kerajaan.

Menjalani kehidupan serba sederhana di sebuah pangsapuri kecil, mereka juga bergantung kepada baucar makanan dan bantuan kebajikan.

Ibunya bekerja sebagai pengasuh, manakala Koum pula mengambil upah sebagai tukang cuci di pasar raya untuk menambah pendapatan.

Buku terpakai dan perpustakaan jadi universiti pertama

Tanpa wang untuk belajar di universiti bahkan mengikuti kursus teknologi yang mahal, Koum hanya bergantung sepenuhnya pada buku-buku terpakai dan sumber di perpustakaan awam.

Dari situlah beliau mula belajar tentang teknologi sistem komunikasi.

Minatnya terhadap penghasilan sistem keselamatan data sekali gus membawa dirinya ke perusahaan internet multinasional terkemuka, Yahoo dan berkhidmat sebagai jurutera infrastruktur selama hampir sedekad.

Ia juga merupakan detik pertemuannya dengan rakan kongsi perniagaannya, Brian Acton.

Revolusi rangkaian komunikasi

Pada 2009, selepas meninggalkan Yahoo, Koum membeli sebuah telefon pintar berjenama Apple iaitu iPhone.

Sejak itulah tercetusnya ilham yang mengubah hidupnya 360 darjah.

Beliau menyedari teknologi aplikasi mudah alih bakal berkembang pesat dan melihat peluang besar dalam pasaran.

Satu aplikasi ringkas dihasilkan yang menawarkan kemudahan menghantar, menerima mesej, selamat, bebas iklan serta boleh digunakan merentas negara tanpa caj.

Dalam masa singkat, WhatsApp berkembang menjadi platform komunikasi global.

WhatsApp secara tidak langsung melakar sejarah apabila platform tersebut dibeli Facebook dengan nilai sebanyak AS$19 bilion (RM78 bilion).

Lebih menyentuh hati, beliau menandatangani dokumen perjanjian itu di hadapan bangunan pejabat kebajikan yang merupakan tempat yang pernah menjadi saksinya beratur demi mendapatkan bantuan makanan.

Koum bagaimanapun pernah mendedahkan bahawa dirinya tidak gemar digelar sebagai usahawan meskipun sudah membangunkan syarikat yang berjaya.

Beliau berpendapat perkataan keusahawanan adalah untuk individu yang mencipta perniagaan menghasilkan wang semata.

“Seperti yang saya faham, usahawan merupakan orang yang mencipta syarikat dengan tugas untuk menjana wang.

“Tetapi, saya bukan seorang daripada mereka. Saya mulakan WhatsApp untuk membina produk.

“Saya tidak mahu mencipta syarikat di sekelilingnya, matlamatnya bukan untuk mendapatkan pendapatan,” jelasnya.

Baca juga: “Bagi sisa kepada madrasah?” – PU Syed kecewa hampir 20kg daging korban busuk terpaksa ditanam