Anju menyesal ‘buat’ hidung, rupanya klinik guna silikon terpakai!

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun ramai melakukan pembedahan kosmetik untuk tampil lebih cantik, kebanyakan tidak menitikberatkan klinik mana yang dikunjungi.

Dibayar untuk buat promosi, pelakon Zarina Anjoulie terpaksa membuang implan hidung kerana mengalami jangkitan teruk sehingga bernanah.

Lebih mesra dipanggil Anju, dia berkongsi di media sosial mengenai prosedur pembedahan plastik yang dilakukan di Vietnam sebenarnya tidak bersih selepas menggunakan implan atau silikon terpakai.

“Disebabkan jangkitan, mula rasa sakit sampai demam dan sakit badan. Saya menyesal buat hidung, dah tak mahu buat lagi.

“Sebenarnya jangkitan ini telah ada sejak dari Vietnam lagi, habis merah hidung. Ini adalah jangkitan secara senyap, luaran nampak okey, tetapi bahagian dalam dah ‘makan’ hidung saya.

“Klinik di Vietnam tu tidak bersih, lepas buka silikon barulah saya tahu yang ia adalah implan terpakai,” ujarnya dalam perkongsian di Instagram.

Tidak mahu menunggu lama, Anju memilih sebuah klinik kecantikan milik rakannya kerana tidak menahan sakit akibat jangkitan tersebut.

“Klinik tu tak buat pembedahan hidung, tapi disebabkan kecemasan, Anju minta dia keluarkan silikon, lepas selesai pembedahan hilang semua merah dekat hidung.

“Jahitan dekat Malaysia juga lebih kemas, dekat Vietnam tu macam ikat benang tali rapia dekat guni,” tambahnya.

Dalam pada itu Anju berkongsi bagaimana renyah penjagaan perlu dilakukan selepas membuat pembedahan kosmetik tersbeut dan mengakui gembira dengan hidung lamanya.

“Saya tidak tahu macam mana orang boleh buat pembedahan hidung kerana ia cukup menyusahkan, menyeksakan dan merimaskan.

“Sekarang dah tak ada sakit sebab jangkitan. Saya gembira dapat kembali hidung lama balik,” kongsinya.

Baca juga: Akmal ‘Old Money’ belanja wang sekitar RM20,000, infak buka puasa untuk 40 sesi