Seorang peniaga bazar Ramadan di Terengganu ‘berputih mata’ apabila terpaksa menanggung kerugian berikutan lapan air balang pelbagai perisa dijualnya terjatuh pada masa yang sama.
Difahamkan, kesemua balang yang terletak di atas meja tersebut terbalik sebelum sempat dijual kepada semua pengunjung bazar Ramadan sebagai minuman untuk berbuka puasa.
Peniaga terbabit kemudian memuat naik satu rakaman di platform TikTok memaparkan limpahan ais batu bersama pelbagai jenis minuman di permukaan jalan berhampiran gerai miliknya.
Perasa atau hiasan tambahan di dalam minuman tersebut seperti boba dan jeli juga dilihat bertaburan di jalan raya sekali gus menambahkan jumlah kos kerugian yang perlu ditanggung oleh peniaga.
Dalam perkongsian tersebut, peniaga air balang tersebut mengaku terpaksa menanggung kos kerugian berjumlah sekitar RM2,000 memandangkan kebanyakkan minuman diperbuat daripada susu.
Bebebapa balang minuman juga pecah selepas terjatuh membuatkan peniaga perlu membeli pelbagai barangan baharu untuk terus menjalankan perniagaannya di bazar Ramadan tersebut.
“Ujian dari Allah pada Ramadan ketiga. Lapan balang tak dapat diselamatkan. Terjatuh tepat pada pukul 6 petang. Allahuakbar. Semoga adalah yang manis-manis selepas ini,” kata peniaga terbabit.
Peniaga berkenaan dalam perkongsian yang sama turut memaklumkan bahawa kesemua balang airnya terjatuh berpunca daripada meja jualan digunakannya kurang stabil ekoran tidak mampu menampung beban.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih tontonan daripada 1.6 juta pengguna aplikasi TikTok dan 46,400 daripada turut meninggalkan tanda suka.
Tinjauan di ruangan komen hantaran itu mendapati rata-rata pengguna berkongsikan rasa simpati terhadap nasib peniaga namun ramai juga pelayar memandang rendah di atas kerugian dialami usahawan tersebut.
Beberapa individu juga tampil mahu menghulur bantuan dengan menyerahkan balang air kepunyaan mereka bagi menggantikan barangan pecah namun peniaga terbabit mengakui sudah ada orang yang sudi meminjamkannya.
Baca juga: Tak segan meskipun terkenal, ratu air mata tolong anak berniaga di bazar Ramadan