Tak segan meskipun terkenal, ratu air mata tolong anak berniaga di bazar Ramadan

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang pelakon nak menjiwai watak, namun tidak dinafikan ada selebriti yang berjaya membuat penonton menangis tersedan-sedan.

Tidak lokek mahupun meletakkan dirinya tinggi meskipun dikenali ramai, pelakon veteran Wan Maimunah Wan Abdul Aziz mencuri tumpuan ramai.

Pelakon berusia 68 tahun itu dikatakan membantu anak lelakinya Muhammad Shah Muhammad bagi mencari rezeki tambahan di bulan Ramadan ini.

Menurut Bernama, Wan Maimunah mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan para peminatnya.

“Alhamdulillah, ramai yang singgah selepas melihat kain rentang yang memaparkan wajah ibu. Pada awalnya mereka nak pastikan sama ada gambar itu betul atau sekadar gimik untuk melariskan jualan.

“Tetapi, apabila tengok betul-betul, masing-masing teruja dan ambil kesempatan bergambar bersama,” katanya di gerainya di Wakaf Beruas seperti dipetik Bernama.

Lebih mengharukan, Wan Maimunah memaklumkan ada yang datang dari jauh demi membeli ayam golek dan berjumpa dengannya.

Kongsinya, operasi perniagaannya bermula pada 3 petang hingga 6.30 petang, setiap hari sepanjang Ramadan malah dia juga menjual nasi beriani hasil air tangan sendiri pada harga RM5.

“Pada hari pertama Ramadan ibu turun berniaga selepas asar. Tetapi, melihatkan sambutan peminat, pukul 3 petang ibu dah turun ke gerai untuk bertemu mereka.

“Setiap hari kami sediakan 70 ekor ayam golek yang dijual pada harga RM25 seekor. Bagi set lengkap ayam golek bersama nasi beriani pula hanya RM28,” katanya.

Baca juga: Harga RM28 juta, Aliff Syukri akhirnya jual bangunan D’herbs