Iklan PTPTN paling ‘deep’ abad ini

Oleh ROSLAN ZAMAN

Iklan paling ‘deep’ abad ini jatuh kepada PTPTN. Itulah yang hangat diperkatan oleh netizen di media sosial.

Mana tidaknya, PTPTN telah memasang papan iklan gergasi di pintu keluar utama negara di lapangan terbang KLIA 2. Dengan mesej yang tersirat, ayat yang seakan-akan memerli peminjam PTPTN yang masih gagal membayar hutang menusuk ke dalam kalbu mereka.

“Selamat bercuti kepada semua pelanggan PTPTN. Semoga dipermudahkan perjalanan pergi dan balik anda,” tulis pada papan iklan digital itu.

Iklan yang mendapat perhatian meluas di media sosial ini menerima pujian daripada rakyat Malaysia. Sambil memuji pasukan kreatif PTPTN, netizen berharap mereka yang culas membayar hutang dapat menjiwai tulisan di papan iklan ini sambil rasa bersalah bercuti ke luar negara.

Untuk rekod, seramai 2.7 juta pelajar yang masih belum membayar hutang PTPTN dengan jumlah hutang terkumpul sebanyak RM 32.29 bilion. Jumlah ini sudah cukup membayangkan betapa kritikalnya masalah disiplin pembayaran hutang oleh bekas pelajar.

Berdasarkan statistik terbabit sudah cukup memberikan gambaran yang sebahagian besar graduan kurang cakna dalam membayar semula pinjaman selepas sudah mula berkerjaya di dalam industri masing-masing.

Tidak hairanlah jika pihak PTPTN sentiasa mencari jalan yang lebih kreatif untuk memberi peringatan agar para peminjam bertanggungjawab melunaskan jumlah wang yang digunakan sepanjang pengajian di menara gading.

Ptptn

baca: “Mati ke kalau tak makan!” – Suami marah isteri depan ‘cashier’ sebab minta kerepek kentang segera