Gara-gara makan roti tanpa izin, pelajar tahfiz didakwa cedera ditampar warden berkali-kali

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pelajar lelaki di sebuah pusat tahfiz di Kemaman, Terengganu didakwa mengalami kecederaan di bahagian kiri dahi akibat ditampar warden beberapa kali selepas didapati memakan roti tanpa kebenaran.

Kejadian dipercayai berlaku pada 26 April lalu sekitar jam 3.45 petang di dalam bilik asrama pusat tahfiz berkenaan berikutan pelajar terbabit memakan roti yang disimpan untuk dimakan buat sarapan pagi di keesokan harinya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, mangsa memaklumkan bahawa dirinya ditampar suspek kerana memakan beberapa keping roti keping yang masih dalam bungkusan tanpa kebenaran.

Mangsa yang merupakan remaja berusia 16 tahun itu kemudian tampil untuk membuat laporan polis keesokan harinya kira-kira pada pukul 9.50 pagi sebelum menerima rawatan di Hospital Kemaman, lapor Sinar Harian.

“Mangsa dikatakan telah melanggar peraturan pusat pengajian berkenaan. Akibat insiden itu, dia mengalami kecederaan di bahagian kiri dahi. Laporan pemeriksaan awal perubatan mangsa telah diperoleh.

“Keterangan daripada suspek yang berusia 41 tahun turut diambil. Berdasarkan maklumat, suspek dilantik sebagai warden di pusat tahfiz berkenaan sejak Disember tahun lalu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Mohd Razi memaklumkan bahawa kes itu kini disiasat oleh pihaknya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sekadar info, makanan sarapan pagi dimakan oleh remaja terbabit adalah roti keping yang masih berada di dalam bungkusan diletakkan di tempat simpanan makanan di pusat tahfiz tersebut.

Baca juga: Anak Malaysia dedah realiti hidup di negara orang, nombor 10 tu ‘confirm’ rasa nak patah balik