Rugi lebih RM700k, pengurus syarikat terpedaya ‘scam’ pelaburan tidak wujud

Oleh MAISARAH AISYA

Meskipun sudah banyak kali diingatkan untuk tidak terpedaya dengan pelaburan yang menjamin keuntungan berlipat kali ganda, masih ada tertipu.

Kebanyakan akan gelap mata melihat hasil yang dijanjikan sehingga sanggup melakukan transaksi hingga ratusan ribu ringgit.

Terbaru, seorang pengurus syarikat rugi RM703,000 selepas dikatakan tertipu dengan skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp lapor Berita Harian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkongsi wanita berusia 47 tahun itu ditipu selepas memuat turun satu aplikasi pelaburan.

Pautan tersebut diberikan oleh suspek menerusi WhatsApp kepada mangsa pada Julai tahun lalu.

Menurutnya, mangsa membuat pelaburan secara berperingkat dengan membuat tujuh transaski kepada empat akaun bank berbeza.

“Mangsa dimaklumkan mengenai keuntungan diperoleh melalui aplikasi itu, tetapi tidak dibenarkan membuat pengeluaran.

“Mangsa mula menyedari ditipu selepas diminta menambah modal pelaburan. Sumber kewangan digunakan mangsa adalah daripada simpanan dan pinjaman.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Disebabkan itu, Yahaya meminta orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan secara dalam talian tanpa menyiasat terlebih dahulu.

“Orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan Semak Mule terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” tambahnya.

Baca juga: Bayar RM5k tapi kambing golek kurus kering, lauk tak cukup…satu keluarga bengang ditipu katering