Seorang wanita tidak menyangka warna daripada ‘contact lens’ atau kanta lekap yang dipakainya akan melekat terus di mata walaupun alat optik bantuan untuk melihat lebih jelas itu sudah ditanggal.
Difahamkan, kanta lekap berkenaan dipakai oleh wanita berkenaan selama seharian untuk pergi beraya sempena sambutan Aidilfitri dan hanya menanggalkannya apabila kunjungan selesai.
Namun alangkah terkejutnya wanita itu sebaik mendapati terdapat kesan hijau kebiruan di permukaan di salah satu matanya selepas menanggalkan kanta lekap dipercayai datang daripada warna alat optik tersebut.
Cukup mendebarkan, kejadian yang dialami oleh wanita terbabit diceritakan menerusi satu hantaran tular dimuat naik di platform TikTok melalui akaun milik Ar Rayyan Optometry.
Pemilik akaun tersebut juga mendakwa bahawa kejadian itu berpunca dari pembelian kanta lekap murah di atas talian yang mana tiada perakuan sah berhubung produk tersebut sama ada selamat dipakai atau sebaliknya.
“Bayangkan seharian kita pakai contact lens pergi beraya. Apabila sudah habis beraya, nak tanggalkan. Tetapi tiba-tiba, warnanya melekat dekat mata macam ini. Takutnya! Kenapa boleh jadi macam ini?
“Punca utamanya adalah peralatan optik itu sendiri yang bermasalah. Tidak dapat diketahui sama ada kanta lekap itu sah dan selamat atau sebaliknya. Kemudian dijualkan dengan harga yang murah secara di atas talian.
“Kemudian punca keduanya boleh jadi disebabkan pakai kanta lekap terlalu lama. Jadi kesannya, alat optik tersebut boleh menjadi kering dan melekat pada mata,” katanya menerusi ruangan kapsyen hantaran itu.
Dalam perkongsian yang sama, pemilik akaun itu turut mendedahkan punca ketiga menyebabkan warna kanta lekap melekat walau sudah ditanggal iaitu jangkitan di mana situasi tersebut boleh mengubah permukaan mata.
Sekiranya situasi sama turut berlaku kepada orang lain, pemilik akaun memberikan nasihat kepada mangsa agar tidak panik atau mencuba mencabut sendiri lapisan yang tertinggal sebaliknya terus pergi ke hospital.
“Apabila sudah ada jangkitan, permukaan mata itu boleh berubah dan membuatkan kanta lekat menjadi melekit atau susah bergerak. Jadi sekiranya sudah jadi macam ini, kena terus pergi ke pakar mata atau hospital.
“Jangan cuba cabut secara paksa. Risau jadi luka di kornea atau kanta lekap itu pecah di dalam mata. Tetapi doktor boleh guna larutan khas untuk lembutkan kanta lekap dan keluarkan dengan selamat.” Jelasnya.
Baca juga: Rugi lebih RM700k, pengurus syarikat terpedaya ‘scam’ pelaburan tidak wujud