Terpedaya dengan skim pelaburan, pesara rugi hampir RM230k gara-gara percaya wanita warga asing

Oleh MAISARAH AISYA

Tidak ada jalan singkat untuk mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda, namun masih ramai yang terpedaya.

Saban hari ada sahaja kes melibatkan pesara yang kehilangan wang simpanan dek kerana termakan umpan untuk mendapat keuntungan dalam masa singkat.

Terbaru adalah kes melibatkan pesara lelaki berusia 62 tahun yang rugi RM229,800 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud lapor Kosmo! Online.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada warga emas itu berhubung kejadian terbabit pada 28 April lalu.

“Berdasarkan siasatan, kejadian berlaku kira-kira 2.52 petang apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita warga Indonesia bernama Zizah.

“Wanita terbabit mendakwa mangsa adalah tukang paip yang akan membaiki paip rumahnya namun mangsa menafikannya.

“Sejak itu, kedua-duanya sering berhubung menerusi telefon sebelum suspek menawarkan mangsa untuk belajar membuat pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan hanya dalam tempoh dua hari,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Dalam pada itu mangsa memaklumkan suspek menghantar satu pautan laman web dikenali sebagai timelessworld.vip untuk dimuat turun mangsa.

“Mangsa kemudiannya membuat tujuh transaksi dalam jumlah kecil ke lima akaun berbeza.

“Sepanjang tempoh terbabit, mangsa mendapat pulangan modal dan keuntungan hasil pelaburan sebelum melakukan lagi tujuh transaksi lagi dalam akaun berbeza.

“Bagaimanapun, mangsa tidak lagi menerima keuntungan dan suspek juga turut gagal dihubungi,” kongsinya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Baca juga: Pelik hutang negara makin bertambah, ramai tak faham beza hutang terkumpul dengan hutang bersih