Tular video Beego sertai tabligh, Linda Hashim harap bukan wayang, tak lupa nafkah anak

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pelakon, Beego dipercayai sedang mengikuti kumpulan tabligh untuk mendekatkan diri kepada Allah selepas konflik rumah tangganya menjadi topik perbincangan hangat.

Dalam rakaman dikongsikan di platform TikTok itu, Beego dilihat berada di jeti Pulau Perhentian, Terengganu yang mana seorang ustaz meletakkan tangan di dada pelakon terbabit seperti sedang membacakan doa.

Susulan penularan video tersebut, isteri Beego yang juga seorang pelakon iaitu Linda Hashim tampil memuat naik perkongsian di akaun Instagram miliknya seakan-akan memberikan respons di atas perubahan suaminya itu.

Linda menerusi hantaran di Instagram Story berharap supaya perubahan suaminya itu bukanlah hanya sekadar lakonan semata-mata sebaliknya bersifat istiqamah atau konsisten dalam mengikuti aktiviti keagamaan.

Pemilik nama sebenar Norhazlinda Hashim, 41, itu juga memberi peringatan kepada Beego untuk menjalankan tanggungjawabnya selaku seorang bapa terutama dalam menunaikan nafkah kepada anak-anak.

“Tabligh itu sudah betul. Tetapi takut dia yang tak betul. Harap-harap istiqamah, jangan wayang (lakonan) sahaja. Nafkah anak-anak, tanggungjawab kepada mereka mana tak selesai-selesai lagi?,” tulisnya dalam hantaran dimuat naik pada malam Isnin itu.

Terdahulu, tular rakaman memperlihatkan Beego atau nama sebenarnya, Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, dikelilingi dengan orang ramai ketika berada di jeti dipercayai sedang mengikuti kumpulan tabligh.

Video tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang terharu dengan perubahan Beego selain berkongsi perasaan simpati ketika melihat wajah pelakon terbabit ekoran dikatakan tampak murung.

Pada bulan Februari lalu, Linda memfailkan permohonan perceraian terhadap Beego di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.

Linda juga mendakwa telah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga mendorongnya untuk membuat keputusan untuk keluar daripada rumah kelamin mereka sebelum permohonan perceraian tersebut difailkan.

Malah menurut Linda, sudah ada empat laporan polis dan tiga laporan perubatan berhubung kes keganasan rumah tangga telah direkodkan sepanjang perkahwinannya bersama Beego.

Sekadar info, pasangan selebriti yang melangsungkan perkahwinan pada Jun 2013 ini pernah bercerai talak satu pada 27 Mac 2023 sebelum bersepakat kembali rujuk semula pada 9 April 2023.

Mereka kemudiannya dikatakan bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama sebagai suami isteri tidak lama selepas itu seperti yang didakwa oleh Linda.

Hasil perkongsian hidup bersama, pasangan itu telah dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun.

Baca juga: Orang kaya di India buat kondo 27 tingkat tapi didiami satu keluarga sahaja