Seorang individu menjadi tumpuan selepas meluahkan hasrat untuk berhenti kerja walaupun mengakui memiliki pekerjaan yang stabil, gaji yang baik, lokasi tempat kerja berdekatan dengan rumah, serta majikan yang baik.
Namun menurutnya, semua kelebihan itu belum cukup untuk mengimbangi beberapa cabaran yang dialaminya di tempat kerja.
Luahan yang dikongsi secara anonim itu mendapat perhatian ramai apabila individu itu menyatakan betapa beratnya bekerja tanpa kehadiran seorang pun rakan rapat untuk berkongsi rasa, terutama ketika menghadapi tekanan.
“Tolong beri motivasi kepada aku. Gaji not bad, rumah dekat, bos baik. Satu je, aku tak ada kawan rapat dekat sini. Makan tengah hari seorang diri, kalau tertekan pun meroyan je lah seorang.
“Aku tak sangka bila tak ada kawan ni lagi kuat rasa nak berhenti bekerja,” luah individu itu.
Luahan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya memberi sokongan emosi kepada individu itu dengan menekankan bahawa mempunyai rakan di tempat kerja tidak semestinya menjamin ketenangan.
Mereka berpendapat, rakan sekerja tidak akan sama dengan rakan sekolah atau rakan baik yang membesar bersama dengan kita.
Menyedari wujudnya politik pejabat, mereka menyarankan individu itu untuk terus bekerja dan abaikan soal rakan di tempat kerja.
Baca juga: Penduduk dakwa tingkap rumah pecah kesan latihan LIMA’25