Yassin Senario akhirnya muncul dalam ‘live’ di TikTok, jawab pertanyaan bila balik Malaysia

Oleh WAN SITI AMINAH

Kemunculan pelawak, Yassin Senario menerusi satu sesi siaran langsung di platform TikTok selepas sekian lama menghilangkan diri telah berjaya menarik perhatian ramai, baru-baru ini.

Ribuan penonton yang menyaksikan siaran langsung itu juga dilihat meluahkan perasaan lega dan gembira kerana akhirnya dapat melihat kehadiran Yassin selain tidak sabar menantikan kepulangannya.

Walau bagaimanapun, pemilik nama sebenar Yassin Yahya itu memilih itu tidak memberikan ulasan lanjut dan lebih selesa untuk berdiam diri ketika ditanya mengenai punca kehilangannya.

Namun pelawak berusia 47 tahun itu sempat berseloroh kepada para penonton untuk memberikannya ‘gift’ atau hadiah di platform tersebut sekiranya mahu dia pulang ke Malaysia.

“Bukan merajuk tak nak balik. Malas nak tengok telefon. Kalau tengok, macam-macam orang cakap. Jika nak saya balik, berikan ‘gift’,” kata pelawak terbabit di dalam siaran langsung berkenaan.

Dalam siaran langsung diadakan oleh pempengaruh yang juga merupakan sahabat Yassin menerusi akaun Rifkal Official itu, dapat dilihat pelawak terbabit berada di dalam keadaan sihat dan mesra melayan peminat.

Namun Yassin tidak memberi respons kepada pertanyaan sama ada dirinya sudah dibebaskan atau tidak sebaliknya hanya mengakui sedang bercuti bukan menghilangkan diri.

“Bukan menghilang, saya bercuti,” jawab Yassin yang juga bergelar pelakon dan penyanyi itu dalam nada berseloroh menerusi sesi berlangsung selama kira-kira setengah jam di platform tersebut.

Yassin juga mengesahkan dirinya bakal tampil bersama rakan seperjuangan di dalam pementasan teater Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @ Senariounion di Panggung Bangsawan Melaka (PBM), Melaka.

Pelawak itu teruja kembali bersama anggota Senario yang lain untuk memeriahkan pementasan yang berlangsung pada 28 Jun depan dan menyarankan peminat supaya segera mendapatkan tiket.

“Ya, saya akan sertai Muzikal Lawak Bangsawan: Mimpi Tuanku @Senariounion. Jadi jangan lupa beri sokongan dengan mendapatkan tiket segera,” pintanya kepada para peminat.

Terdahulu, ketiadaan Yassin sewaktu kumpulan Senario pulang daripada mengerjakan umrah serta di dalam acara membabitkan anggota lain telah menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.

Situasi menjadi semakin hangat apabila seorang pelawak yang tidak didedahkan identitinya dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober lalu kerana kesalahan memiliki ganja.

Orang ramai mula mengaitkan laporan tersebut dengan nama Yassin namun semua anggota kumpulan Senario lebih memilih untuk tidak memberikan sebarang komen mahupun mengesahkan perkara itu.

Pelawak terbabit dilaporkan dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan dijadualkan pulang pada April lalu namun Saiful Apek memberitahu bahawa Yassin tidak dipenjara sebaliknya menjalani program pemulihan.

Baca juga: Pelajar buntu belum apa-apa mak ayah dah rembat duit PTPTN