Salut kepada petugas Sidang Kemuncak Asean, kata PMX

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan sepenuh penghargaan dan salut kepada semua yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang dianggap antara yang terbaik.

“Kejayaan ini bukan milik individu, tetapi hasil usaha kolektif yang mencerminkan kekuatan semangat berpasukan.

“Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI yakni berpadu tenaga dan bersatu hati demi negara yang kita sanjungi,” kata Anwar dalam satu kenyataannya.

Katanya, Kerajaan MADANI akan terus mara, biarpun menongkah arus dan cabaran, dengan tekad untuk berkhidmat sepenuh jiwa dan raga.

“Kita tidak memilih untuk berundur, jauh sekali mendabik dada dengan nama dan pangkat semata.

“Teruskan berbakti dengan ikhlas dan rendah hati. Negara ini milik kita bersama. Masa depan Malaysia bergantung kepada keutuhan nilai, kesungguhan tekad, dan kekuatan azam kita semua,” kata beliau.

Sidang Kemuncak Asean yang berlangsung dari 23 – 28 Mei lepas telah disifatkan ntara sidang yang paling berkesan dan substentif.

Pelbagai pemimpin negara mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas penganjuran yang terbaik ini.