Caprice jadi orang tengah, pertemukan anggota polis ajak ‘check-in’ dengan mangsa

Oleh WAN SITI AMINAH

Gempar di media sosial baru-baru ini dengan penularan satu rakaman video memaparkan seorang anggota polis mengajak wanita untuk ‘check-in’ atau mendaftar masuk ke sebuah hotel.

Wanita yang dipercayai bekerja dalam sektor penyediaan makanan dan minuman (F&B) itu mendakwa diganggu oleh anggota penguat kuasa berkenaan selepas ditahan ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Video tersebut telah mencetuskan kemarahan berikutan anggota polis yang sepatutnya melindungi orang awam malah bertindak melemparkan kata-kata berbaur mengaibkan terhadap kesantunan wanita.

Terbaharu, penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan iaitu Caprice mengadakan pertemuan dengan wanita itu yang mana mangsa menuntut permohonan maaf daripada anggota polis berkenaan.

Hal ini berikutan tindakan dan kata-kata yang terakam di dalam video tersebut disifatkan sebagai biadab dan tidak menghormatinya sebagai seorang wanita namun tetap menyedari kesilapannya dalam berpakaian.

“Saya nak dia meminta maaf. Macam saya tiada maruah. Tetapi saya juga faham pandangan orang,” katanya yang memahami bahawa penampilannya boleh membuatkan orang ramai salah sangka terhadap dirinya.

Caprice kemudian bertanya sama ada wanita itu mahu berdamai dengan anggota polis terbabit selain berjanji akan memujuk pelaku untuk membuat permohonan maaf kepadanya di atas kejadian itu.

Selepas wanita itu menyatakan persetujuannya dengan menganggukkan kepala, anggota polis terbabit kemudian masuk ke dalam ruangan bertemu mangsa dengan kehadiran Caprice namun identitinya masih dirahsiakan.

Perbualan antara mereka bertiga juga tidak didedahkan namun anggota polis itu dipercayai sudah meminta maaf kepada mangsa dan ibu serta neneknya di atas ketelanjurannya seperti dimaklumkan Caprice.

“Alhamdulillah, selesai masalah antara adik kita ini dengan seorang anggota polis. Siap buat permohonan maaf kepada ibu dan nenek mangsa. Terima kasih kepada semua pihak.

“Minta maaf sebab lambat sedikit untuk kes ini. Kami ambil masa nak cari perempuan dalam video dan polis tersebut. Selesai,” kata Caprice dalam ruangan kapsyen video pertemuan yang dikongsikan di platform Instagram itu.

Dalam perkongsian itu, Caprice memaklumkan bahawa masalah antara anggota polis dan mangsa sudah selesai dengan mengadakan perjumpaan yang menemukan kedua-dua belah pihak.

Walau bagaimnapun, sebarang tindakan lanjut terhadap anggota terbabit akibat daripada perbuatannya itu tetap diserahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baca juga: NGO desak polis siasat kenyataan Yusoff Rawther sokong Israel