Usahawan dan pempengaruh, Ridzokumura tidak berniat untuk kembali menjadi suami mahupun mencari wanita lain bagi menggantikan tempat arwah isterinya iaitu Akiko Okumura buat masa ini.
Malah pemilik nama sebenar Abd Ridzuan Abdul Mutalib itu lebih rela hidup sendiri berbanding berkahwin lain dan berharap dapat tetap setia dengan arwah Akiko sehingga ke akhir hayat.
Keengganan untuk berumah tangga buat kali kedua itu diakui usahawan berusia berusia 50 tahun terbabit dalam satu sesi temu bual bersama majalah Nona yang mana rakamannya turut dimuat naik di platform Instagram.
Ridzokumura sememangnya terlihat sangat tegas dengan pendiriannya malah turut berdoa kepada Ilahi agar pintu hatinya ditutup untuk mana-mana wanita kerana merasa sudah memadai dengan kebahagiaan diberikan Akiko.
“Lelaki lagi susah nak ‘move-on’. Setiap doa saya berkata, ‘Ya Allah, tutupkanlah nafsu saya terhadap manusia. Saya tak mahu kahwin lagi. Cukuplah saya dengan arwah Akiko sebab dia adalah perempuan yang membahagiakan saya.
“Dari dia hidup, sehinggalah meninggal dunia. Saya cuma mahu dia sahaja. Misal kata suatu hari nanti kahwin lain juga, itu bermakna saya curang dengan dia. Sepanjang 16 tahun dengan dia, kami tak pernah curang.
“Jadi sampai mati juga begitu. Saya rela hidup seorang diri daripada kahwin lain. Saya setia pada yang satu sampai akhir hayat,” katanya dalam rakaman sesi temu bual yang dikongsikan di akaun Instagram milik majalah berkenaan.
Pendirian sama turut dikongsi oleh anak tunggalnya iaitu Sky Taizo Okumura berikutan remaja yang kini berusia 13 tahun itu tidak mahu kedudukan arwah ibunya diganti oleh wanita lain.
Dalam sesi temu bual sama, Ridzokumura yang juga bapa saudara kepada pelakon iaitu Zarina Zainuddin itu turut memohon orang ramai mendoakannya agar diperkuatkan pegangan agama.
“Sky juga tak mahu. Dia sudah cakap, jangan kahwin. Tetapi itu hanyalah doa, kita tak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Doakan saya dapat menjaga anak dengan baik dan dikuatkan pegangan agama.” Ujarnya.
Terdahulu Allahyarham Akiko atau nama Islamnya, Nur Aishah Abdullah dilaporkan meninggal dunia pada 28 Februari lalu akibat terjatuh dari tingkat empat di sebuah kondominium yang terletak di Subang Jaya, Selangor.
Sekadar info, Ridzuan mendirikan rumah tangga dengan Akiko yang merupakan warganegara Jepun pada Februari 2009 dan hasil dari perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki tunggal iaitu Sky.
Baca juga: Ini 7 teknik cuci kerang yang jimat masa dan tenaga, bahan pun tak banyak!