Kecoh di media sosial semalam apabila usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri mendakwa salah sebuah kediaman miliknya telah diceroboh oleh warga asing yang turut melakukan kegiatan tidak bermoral dalam rumah itu.
Usahawan itu turut memuat naik rakaman ketika serbuan di rumah berkenaan dilakukan yang mana seorang wanita berusia dipercayai warga asing ditemui dengan berpakaian seksi dan solekan tebal dalam salah sebuah bilik.
Menurut Aliff Syukri, wanita itu pernah membawa masuk lima orang lelaki lain ke dalam rumahnya yang terletak di Sungai Buloh berkenaan dipercayai untuk menjalankan aktiviti pelacuran selain dijadikan sarang penagih dadah.
Aliff kemudian tampil bersama isterinya, Datin Seri Shahida dalam satu siaran langsung di platform TikTok untuk bercerita dengan lebih lanjut memandangkan kejadian itu berjaya mencuri perhatian ramai.
Dalam sesi siaran langsung tersebut, Datin Seri Shahida mendedahkan bahawa wanita terbabit mendakwa Aliff Syukri pernah berjanji untuk menikahinya sewaktu usahawan itu berkunjung ke Kemboja.
Wanita yang menggelarkan Aliff Syukri sebagai suaminya itu turut membuat pengakuan bahawa tujuannya datang ke Malaysia adalah untuk menuntut janji dan mendirikan rumah tangga bersama usahawan terbabit.
“Dekat katil dia, ada gambar Papa Laris (Aliff Syukri). Tetapi gambar lain dia buang. Katanya itu suami dia. Kemudian kami panggillah individu yang pandai bahasa Kemboja untuk tolong terjemahkan percakapan wanita itu.
“Katanya Datuk dahulu pernah masuk Kemboja dan janji nak berkahwin dengan dia. Tetapi Datuk mungkir janji. Itu yang dia cari sampai ke sini untuk menuntut janji,” kongsi Datin Seri Shahida dalam siaran langsung tersebut.
Sesi siaran langsung tersebut sempat dirakam oleh salah seorang penonton yang kemudian memuat naik semula sedutan video berdurasi empat minit 50 saat berkenaan di platform TikTok.
Menerusi perkongsian sama, Aliff Syukri turut mendakwa rumahnya kini kelihatan porak-peranda selepas semua kelengkapan rumah termasuklah perabot dan barangan elektrik dijual oleh penceroboh terbabit.
“Apabila pergi tengok rumah, semua barang elektronik sudah tiada. Penyaman udara, lampu, suis termasuklah kabel elektrik semuanya dijual.” Kesal usahawan berusia 38 tahun terbabit.
Baca juga: Bukan biasa-biasa, kaji selidik dari aplikasi Dating dedah lelaki Malaysia paling setia di Asia