Serangan jantung ubah diri, Zamarul Hisham amal gaya hidup sihat

Oleh MAISARAH AISYA

Serangan jantung merupakan salah satu penyakit paling berbahaya di dunia dan menjadi punca utama kematian di banyak negara, termasuk Malaysia.

Penyakit ini sering berlaku secara tiba-tiba dan boleh menyebabkan kematian dalam beberapa minit jika tidak dirawat segera.

Buat pelakon Zamarul Hisham yang terkena serangan jantung April lalu, dia menganggap kejadian tersebut sebagai detik permulaan untuk hidup sihat.

Berkongsi detik cemas, Zamarul memaklumkan meskipun serangan yang berlaku tidak lama namun kesakitan itu berada di tahap maksima lapor Berita Harian.

“Kalau tanya saya tahap kesakitan serangan jantung daripada 10, saya beri 11. Serangan tidak lama cuma dua hingga tiga minit, tetapi sakit sangat.

“Saya kena serangan sebanyak lapan kali pada April lalu, ketika bangun tidur hingga doktor pakar merawat pun pelik. Biasanya, serangan berlaku ketika seseorang sedang bersenam.

“Jadi, doktor kata sudah tidak boleh tunggu lagi. Saya kena jalani angiogram dan pemasangan stent pada sebelah kanan tangan,” katanya seperti dipetik Berita Harian..

Jelasnya selain mengamalkan gaya hidup lebih sihat, Zamarul juga memilih untuk berhenti merokok lapor Berita Harian.

“Ketika serangan pertama, Februari lalu, saya hanya mengalami kesukaran bernafas dan rasa lemah. Ketika itu, dada tidak rasa sakit.

“Selepas keluar dari hospital, saya tidak begitu jaga makan dan masih merokok. Tetapi, saya betul-betul serik dan cukup menjaga pemakanan sekarang.

“Saya tidak ambil nasi dan tepung. Makanan manis dan bergula juga dielak. Saya sudah berhenti merokok dan tidak mahu lagi lalui kesakitan itu,” kongsinya.

Baca juga: ‘Tak guna minta nafkah, hanya bazir duit bayar peguam’ – Sharon dedah dah bercerai dengan Rusdi Ramli