Pensyarah didenda RM150, mengaku pukul kepala dan tangan suami guna batang buluh

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita bergelar pensyarah didenda RM150 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau semalam atas pertuduhan mencederakan suami dengan memukulnya menggunakan batang buluh pada Jumaat lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu Yang Khalida Khalid didakwa telah mencederakan suaminya di atas bangkitan marah dengan memukul lelaki itu dengan menggunakan batang buluh pada kepala dan tangan.

Perbuatan didakwa dilakukan oleh tertuduh yang berusia 37 tahun itu terhadap suaminya, Mohd Nasir Abdul Halim, 48, di hadapan rumah beralamat 117-1-20, Taman Emas di Teluk Kumbar dalam Daerah Barat Daya pada jam 11 pagi, 4 Julai lalu. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai satu bulan atau denda hingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, R Lushano ketika prosiding dijalankan telah memohon kepada mahkamah untuk memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan teladan, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Yiew De Xian yang mewakili tertuduh memohon denda minimum terhadap anak guamnya yang hanya berpendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.

Hal ini kerana tertuduh perlu menanggung ibunya malah pensyarah berkenann juga masih berada di dalam proses perceraian dengan suaminya.

Majistret Chia Huey Ting kemudian menetapkan denda sebanyak RM150 atau tiga hari penjara sekiranya gagal membuat bayaran dan tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Difahamkan, suami tertuduh dilaporkan mengalami calar pada bahagian pipi dan bengkak pergelangan tangan kiri akibat dipukul menggunakan batang buluh oleh isterinya dalam kejadian tersebut.

Sekadar info, tertuduh yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi latihan kemahiran itu menjalankan perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan suaminya selepas berkahwin pada 12 tahun lalu.

Baca juga: Netizen ceramahkan individu minta sumbangan untuk langsaikan hutang kad kredit