Tasik Putrajaya dibanjiri dengan orang ramai hari ini untuk menghadiri program ‘Picnic and Potluck bersama Tun Dr. Mahathir 100 tahun’ diadakan bersempena hari jadi bekas Perdana Menteri terbabit yang ke-100 pada 10 Julai lalu.
Berdasarkan beberapa rakaman tular di platform TikTok, orang ramai difahamkan sudah mula memenuhi kawasan tasik berkenaan sejak daripada pukul 6 pagi lagi dengan rata-ratanya turut membawa tikar.
Para pengunjung juga turut membawa makanan selain ada di antara mereka dilihat sedang memegang belon yang tertera ucapan hari jadi khusus buat Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu.
Orang ramai kemudian menyambut kehadiran pemimpin berkenaan bersama isterinya, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali pada sekitar jam 7.45 pagi di lokasi program diadakan dengan sorakan dan tepukan gemuruh.
Dr. Mahathir kemudian memulakan aktiviti riadah dengan mengayuh basikal secara ‘tandem’ mengelilingi kawasan Tasik Putrajaya diiringi oleh pegawai keselamatan khas sambil menyapa orang ramai.
Namun sebaik sahaja menamatkan kayuhan, Dr. Mahathir dilihat agak keletihan dan duduk di kerusi seketika untuk berehat yang mana situasi tersebut sempat dirakamkan oleh orang ramai.
Perakam video berdurasi 10 saat itu kemudian memuat naik perkongsian di akaun TikTok miliknya memaklumkan bahawa pemimpin berkenaan keletihan selepas sekitar satu jam berbasikal.
Para petugas dilihat mengelilingi Dr Mahathir dan segera bertindak meletakkan kipas selain mengurut di bahagian belakang pemimpin terbabit sambil menenangkan serta meninjau keadaannya.
“Tun cuma keletihan selepas berbasikal. Walaupun letih, Tun Masih tersenyum,” kata pemilik akaun TikTok dikenali sebagai Anip Oyen itu dalam ruangan kapsyen rakaman kejadian tersebut.
Pemimpin itu difahamkan terpaksa pulang lebih awal bersama isterinya untuk berehat di rumah sebelum sempat beramah mesra dengan orang ramai yang hadir menyertai program tersebut.
Baca juga: ‘Berhentilah memalukan keluarga, suami tercinta’ – Hantaran Nabila Huda cetus tanda tanya