Peminat cair tengok Syed Saddiq layan anak Bella Astillah, jadi Superman sambut hari lahir

Oleh WAN SITI AMINAH

Kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dalam majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah telah berjaya mencuri tumpuan ramai baru-baru ini.

Difahamkan, majlis sambutan tersebut diadakan untuk meraikan hari lahir cahaya mata Bella iaitu Ayden Adrean yang kelapan dan adiknya, Ara Adreanna kini berusia lima tahun.

Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai adalah penampilan Syed Saddiq ekoran ahli politik berusia 33 tahun terbabit hadir dengan memakai kostum adiwira Superman.

Hal ini berikutan majlis tersebut membawa tema karakter daripada filem animasi dan juga adiwira antarabangsa berdasarkan dekorasi serta pakaian yang digayakan oleh keluarga Bella Astillah.

Kemesraan di antara pemilik nama sebenar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anak Bella Astillah seperti yang dipaparkan dalam beberapa rakaman tular di platform TikTok turut menjadi topik perbincangan netizen.

Mana tidaknya, Syed Saddiq terlihat tidak kekok langsung ketika bergambar bersama Ara di dalam rakaman dimuat naik oleh pemilik akaun Budak Tadika malah ahli politik berkenaan turut melayan kanak-kanak itu ketika bermain.

Perkara ini dapat dilihat menerusi satu rakaman berdurasi 29 saat yang mana Syed Syaddiq tampak mendampingi Ara dan dengan sabar mengajar kanak-kanak berkenaan memandu permainan go-kart.

“Comel betul si Ara ini kan? Main go-cart, ada Superman (Syed Saddiq) tolonglah,” kata pemilik akaun di ruangan kapsyen video memaparkan suasana ketika para tetamu terdiri daripada kanak-kanak sedang bermain.

@budak.tadika

Comel betul si Ara ni kan? Main Go-Cart, ada superman tolong laa🤭😁✨ #fyp #fypシ゚viral #bellaastillah #syedsaddiq

♬ original sound – Budak Tadika – Budak Tadika

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna meluahkan perasaan terharu selepas melihat layanan Syed Saddiq yang penuh perhatian terhadap anak Bella Astillah.

Ramai juga pengguna mengakui Syed Saddiq memiliki bakat untuk menjadi seorang ayah dan mereka tidak lupa mengirimkan doa supaya ahli politik itu segera bertemu jodoh bersama ibu kepada kanak-kanak terbabit.

“Ara dan Ayden nampak gembira sangat-sangat apabila dilayan dengan penuh perhatian dan kasih sayang dari Syed Saddiq. Semoga cepat-cepat berjodoh,” kata seorang pengguna yang terharu menonton rakaman tersebut.

“Mereka sudah mempunyai Papa yang sanggup buat apa sahaja demi kebahagiaan mereka. Malah sanggup menjadi Superman!.” Kongsi pengguna lain yang memuji sikap Syed Saddiq.

Sekadar info, Bella dan Syed Saddiq belum memberikan sebarang pengesahan tentang status hubungan sebenar namun kemesraan yang ditonjolkan telah membuatkan peminat melihat mereka sebagai pasangan kekasih.

Baca juga: Sejarah jalan sesak paling azab di dunia, ribuan kenderaan terkandas 12 hari