Kandang lembu jadi markas transit dadah, pemilik berisiko jadi ‘orang tengah’ tanpa sedar

Oleh MALAYSIADATELINE

Pihak berkuasa kini berdepan taktik baharu penyeludupan dadah di Kelantan apabila sindiket dikesan menyembunyikan bahan terlarang itu dalam tahi lembu bagi mengaburi mata.

Modus operandi ini dipercayai digunakan di kawasan sempadan berhampiran kandang lembu, khususnya di sepanjang laluan Kelantan–Thailand

Ini sekali gus mendedahkan para pemiliknya kepada risiko dijadikan ‘orang tengah’ tanpa disedari.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, setakat ini tiada siasatan rasmi yang membuktikan pemilik kandang terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Namun begitu, hasil laporan risikan mendapati terdapat indikasi bahawa dadah diseludup bersama lembu atau kambing melalui rangkaian logistik kandang.

Ini menjadikan lokasi itu berpotensi untuk digunakan sebagai transit oleh sindiket lapor Bernama.

“Kita beri amaran bahawa ramai pemilik kandang ternakan berdekatan sempadan berisiko menjadi ‘orang tengah’ sama ada secara sukarela kerana terpengaruh dengan keuntungan besar mahupun kerana dipaksa oleh sindiket.

“Sindiket dipercayai menggunakan kandang seperti di Kampung Tualang dan Simpangan, Tumpat serta Kampung Kubang Pak Itam, Jeram Perdah dan Tok Deh, Pasir Mas,” katanya seperti dipetik Bernama.

Sebelum ini media melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama polis Kelantan berjaya merampas 35.4 kilogram pil kuda bernilai lebih RM5 juta.

Menerusi serbuan itu, 20 kilogram dadah ditemui disembunyikan dalam najis lembu di kandang milik suspek di Banggol Chica, Pasir Mas.

Jelas Nik Ros Azhan, anggota PGA turut menemui tali, kesan najis dan tapak kaki lembu dipercayai milik haiwan yang diheret ke kandang haram sebelum dihantar ke lokasi lain.

“Hasil pemeriksaan anggota PGA di beberapa pangkalan haram turut menemukan tali untuk menambat lembu di batang pokok, selain kesan najis dan tapak kaki lembu di tebing sungai.

“Difahamkan, selepas bilangan lembu mencukupi haiwan itu akan diheret sejauh dua hingga tiga kilometer dari tebing sungai ke kandang haram sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk dihantar ke lokasi tertentu,” katanya.

Tegasnya PGA akan terus memperketatkan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti ada pemilik kandang bersubahat dalam kegiatan penyeludupan dadah menggunakan haiwan sebagai perisai.

Baca juga: Bella Astillah terharu dengan layanan Tun Hasmah, bakal buat persembahan bersama tidak lama lagi