Sejak kebelakangan ini, kisah pelakon senior yang terpaksa menyara dua anak dewasa berusia dalam lingkungan 30-an kembali menjadi bualan hangat netizen.
Ramai yang meluahkan rasa simpati apabila mengetahui dia masih gigih mencari rezeki walaupun usianya hampir mencecah 70 tahun, semata-mata untuk memastikan anak-anaknya dapat meneruskan pengajian.
Pelakon yang pernah popular di era 80-an, Dharma Harun tidak mahu hanya bergantung kepada sumbangan semata-mata sebaliknya dia mengharapkan peluang pekerjaan.
Menurut Kosmo! Online, pelakon berusia 68 tahun itu mahu mengubah kehidupannya menjadi lebih baik seperti sebelum ini jika diberi tawaran kerja.
“Sumbangan memang penting tetapi bukan ini yang saya perlukan sebaliknya tawaran pekerjaan.
“Bagi saya, duit nombor dua tetapi paling utama ialah kerja. Bagilah saya kerja. Bila ada kerja, automatik duit boleh datang.
“Jika ada sesiapa yang boleh bantu bagi saya kerja, saya berpengalaman menerbitkan program sebelum ini,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Sementara itu, penerbit filem, Richard Ung, turut tampil menghulurkan bantuan kepada Dharma dengan menawarkan watak sebagai seorang mafia dalam filem aksi terbaharu mereka, Felai Fx.
Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang rezeki, malah menjadi ruang untuk Dharma kembali mewarnai dunia lakonan.
“Sumbangan ini cukup untuk bawa Dharma keluar daripada kemelut yang dihadapi sekarang iaitu untuk bayar tunggakan sewa rumah, kos sara hidup dalam tempoh tiga bulan sehingga anaknya menamatkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
“Saya putuskan buat tayangan khas filem ini terlebih dulu khusus untuk membantu Dharma dan dua anaknya terlebih dahulu.
“Semoga dua anaknya tidak lagi mendapat kecaman dari netizen kerana tidak bekerja selepas ini,” jelasnya.
Baca juga: Sesungguhnya bukan semua yang bernama tiri itu jahat – Shila Amzah hargai Ubai