New Zealand nyatakan minat sertai Majlis Halal ASEAN, kukuh kerjasama dengan Malaysia

Oleh MALAYSIADATELINE

Malaysia dilihat memainkan peranan penting dalam Majlis Halal ASEAN sebagai antara peneraju utama dalam industri halal global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan New Zealand berminat menyertai Majlis Halal ASEAN sebagai ahli bersekutu.

Ini sekali gus menunjukkan usaha mempererat kerjasama halal dengan Malaysia dan negara serantau.

Memetik Bernama, perkara itu dibangkitkan dalam pertemuan bersama pegawai kerajaan dan komuniti rakyat Malaysia di Auckland serta Wellington.

“New Zealand menyuarakan hasrat untuk menjadi ahli bersekutu dalam Majlis Halal ASEAN, dan ini satu perkembangan positif yang membuka ruang kerjasama lebih luas dalam ekosistem halal, bukan sahaja antara dua negara tetapi juga di peringkat serantau.

“Tentunya dalam banyak pertemuan mereka juga bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pengedaran produk-produk halal dari New Zealand.

“Ini adalah untuk pasaran negara ASEAN dan juga untuk pasaran tradisional yang ada jaringannya antara Malaysia dan negara-negara di luar,” katanya seperti dipetik Bernama.

Ahmad Zahid berkata, penyertaan negara luar seperti New Zealand dalam Majlis Halal ASEAN mampu memperkukuh penyelarasan piawaian dan meningkatkan kebolehpasaran produk halal di peringkat global.

Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia itu juga memaklumkan Malaysia bersedia menjadi hab halal serantau serta membuka akses kepada syarikat New Zealand ke pasaran ASEAN.

Terutamanya melalui inisiatif bersama termasuk penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

Baca juga: Perjumpaan ketua-ketua UMNO bahagian tanpa kehadiran Zahid malam ini