Seorang lelaki warga India berjaya meraih perhatian ramai baru-baru ini selepas mempromosikan restoran miliknya yang dipercayai dibuka di tanah airnya terletak di daerah Ramanathapuram, Tamil Nadu.
Mana tidaknya, restoran yang telah diberi nama ‘Tomyam Malaysia’ itu bukanlah menjual makanan India sebaliknya menghidangkan hidangan tempatan Malaysia termasuk roti canai, nasi lemak, nasi ayam, mee goreng, rojak dan apam balik.
Difahamkan, lelaki dikenali sebagai Kani Boy itu pernah bekerja di Malaysia sebelum dia pulang semula ke tanah airnya dan membuka restoran menjual makanan yang sempat dinikmatinya ketika di negara ini.
Menerusi beberapa rakaman yang dimuat naik di platform TikTok itu, kelihatan kedai makanan milik Kani menerima sambutan cukup menggalakkan malah pelanggan juga tampak berpuas hati dengan servisnya.
Cukup mengagumkan, suasana serta pemandangan di restoran yang memulakan operasi pada 2 Julai lalu itu juga dilihat tidak jauh berbeza daripada kedai makan terdapat di Malaysia.
Tinjauan mendapati rata-rata pengguna TikTok tempatan meninggalkan komen positif di akaun milik Kani dengan memuji pemuda itu kerana bijak dalam memanfaatkan pengalaman di Malaysia serta peluang untuk membuka perniagaan di tanah airnya.
Ramai juga pengguna meluahkan rasa kagum apabila melihat persamaan menu di restoran milik Kani dengan hidangan tempatan malah terbuka untuk mengunjungi premis berkenaan sekiranya berkunjung ke negara India suatu hari nanti.
Baca juga: Tak mahu hidup atas sumbangan lagi, Dharma rayu peluang kerja